Reda diuji dugaan berganda

KUANTAN - Pasangan warga emas dari Kampung Teluk Mahang 2 di sini sekali lagi diuji apabila kediaman mereka ditenggelami banjir baru-baru ini, selepas sebahagian rumah musnah dalam kebakaran pada 20 September lalu.
Belum sempat kerja pembaikan rumah disiapkan sepenuhnya, pasangan itu kini berdepan kerosakan harta benda lain termasuk barangan rumah dan perkakasan elektrik akibat banjir.
Di sebalik dua musibah besar tersebut, Sa’ari Abas, 66, dan isterinya, Hasnah Ali, 61, tetap reda serta tenang menghadapi ketentuan yang berlaku.
Sa’ari berkata, kejadian kebakaran yang melibatkan sebahagian rumahnya pada September lalu turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan berangkat menziarahi dia sekeluarga.
“Kalau sebelum ini bahagian rumah kami musnah terbakar, kali ini hampir semua barangan rumah termasuk perkakas elektrik pula rosak.
“Barang-barang yang boleh diselamatkan kami cuba bersih dan keringkan dulu. Harap boleh guna, kalau tidak terpaksa buang,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.
Menurutnya, kali terakhir mereka berdepan banjir besar adalah pada tahun 2021, dengan keadaan ketika itu jauh lebih teruk.
“Cuma kali ini dugaan lebih mencabar apabila diuji dengan dua musibah besar hanya selang hanya kira-kira tiga bulan,” ujarnya.
Di sebalik dugaan itu, Sa’ari bersyukur apabila anak-anak, menantu serta cucu-cucu pulang secara bergilir-gilir bagi membantu membersihkan rumah.
“Allhamdulillah, anak dan menantu dari Bangi, Selangor dan seorang lagi yang tinggal di sekitar Kuantan, juga mangsa banjir telah pulang hari ini untuk membantu.
“Tiga lagi anak menantu yang berada di Singapura dan Kuala Lumpur akan menyusul,” katanya.
Sementara itu, anak Sa’ari, Mohamad Khairul Furzan Sa’ari, 39, berkata beliau dan isterinya memilih untuk pulang membantu membersihkan rumah ibu bapa walaupun kediaman mereka sendiri turut dilanda banjir.
Menurutnya, beliau bersama adik-beradik lain akan bergilir-gilir membersihkan rumah ibu bapa sebelum kembali menguruskan rumah masing-masing.
“Memang banyak barang kena air, kena pilih dulu mana yang rosak dan boleh pakai sebelum dibersihkan,” katanya.
Seorang lagi menantu Sa’ari, Mohamad Hafiz Ahmad, 42, seorang jurutera yang menetap di Bangi, Selangor, berkata dia sekeluarga bergegas pulang selepas mengetahui banjir di Kuantan mulai surut.
“Kami pulang pada Sabtu selepas mak ayah kembali dari PPS.
“Kebetulan cuti sekolah telah mula jadi kami sekeluarga pulang ke sini untuk membersihkan rumah keluarga yang terjejas banjir,” katanya.
Ringkasan AI
- Pasangan warga emas di Kuantan mengalami banjir selepas sebahagian rumah mereka musnah akibat kebakaran
- Sebelum kerja pembaikan selesai, banjir merosakkan barangan rumah dan perkakasan elektrik
- Sultan Pahang menziarahi keluarga tersebut pasca kejadian kebakaran
- Anak-anak dan menantu membantu membersihkan rumah secara bergilir-gilir
- Pasangan itu juga menghadapi banjir besar pada tahun 2021, namun dugaannya lebih mencabar kali ini dengan dua musibah dalam masa singkat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

