Dua rumah terbakar, warga emas melecur ketika selamatkan barang

MELAKA - Seorang lelaki warga emas melecur dalam kebakaran dua rumah di kampung Pengkalan Rama Pantai di sini pada Isnin.
Difahamkan mangsa berusia 64 tahun itu cedera ketika cuba membawa keluar barang dari bilik sewa di lokasi kejadian.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, PgKB II Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.28 tengah hari melalui talian MERS 999.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi pada jam 1.30 tengah hari dan tiba empat minit kemudian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi setiap satu, dengan peratusan kemusnahan 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa yang melecur 50 peratus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Menurut Khir Amir, operasi pemadaman dijalankan menggunakan enam pancutan melibatkan dua aliran dari sumber air daripada pili bomba berhampiran.
“Seramai 15 anggota terlibat dalam operasi melibatkan jentera FRT, EMRS dan Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
“Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.50 tengah hari dan kerja pemadaman masih diteruskan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berumur 64 tahun melecur dalam kebakaran dua rumah di kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka
- Mangsa melecur ketika cuba membawa keluar barang dari bilik sewa
- JBPM Melaka menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke tempat kejadian dalam masa empat minit
- Kebakaran meliputi dua buah rumah dengan kemusnahan 100 peratus
- Mangsa melecur 50 peratus dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

