Dua hari tidak pulang rumah, pemandu lori ditemui maut dalam parit

MUAR - Tanda tanya kehilangan seorang pemandu lori yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui maut dalam parit di Jalan Parit Penyengat Laut, Parit Jawa di sini Sabtu lalu.
Mangsa yang merupakan seorang pemandu lori ditemui orang awam dalam keadaan tidak bernyawa dipercayai selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam parit ketika cuba mengelak seekor lembu pada hari kejadian, Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat jam 1.10 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Parit Nipah.
“Hasil siasatan awal di lokasi, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor lembu sebelum motosikal jenis Yamaha Y100 yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit.
“Akibatnya, lelaki itu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya ditemukan oleh orang awam pada jam 10.40 pagi Sabtu dan sekali gus menjawab kehilangannya yang tidak pulang ke rumah sejak keluar bekerja Jumaat lalu,” katanya.
Tambah Raiz Mukliz, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, polis turut meminta saksi kejadian untuk menghubungi Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-9704143 atau tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.
“Polis juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu selain mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Ringkasan AI
- Pemandu lori ditemui maut dalam parit di Jalan Parit Penyengat Laut, Muar selepas tidak pulang dua hari
- Mangsa mengalami kemalangan ketika mengelak lembu menggunakan motosikal Yamaha Y100 dan terbabas ke dalam parit
- Kemalangan berlaku pada Jumaat jam 1.10 tengah hari
- Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, saksi diminta hubungi polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
