Amang seksual pelajar lelaki: Pemandu lori dipenjara sembilan tahun, dua sebatan

Tertuduh dibawa keluar selepas keputusan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
Tertuduh dibawa keluar selepas keputusan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, P Stephen Nyamamuthu, 55, selepas meneliti keseluruhan keterangan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 15 Disember 2023, kira-kira jam 2.40 petang, di Jalan Sutera Belia berhampiran sebuah pasar raya di Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah.

Berikutan perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguam mewakili tertuduh, M Shangeetha memohon agar hukuman terhadap tertuduh yang juga bapa kepada empat anak, diringankan atas alasan hukuman berat akan memudaratkan keluarga.

Bagaimanapun, dalam hujahan pemberat, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan perbuatan tertuduh merupakan satu kesalahan serius yang tidak boleh diterima oleh masyarakat.

“Kes ini telah memberi impak negatif kepada mangsa dan keluarganya. Mangsa juga terpaksa melalui proses perbicaraan yang panjang pada usianya.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon satu hukuman pemenjaraan dan sebat dikenakan terhadap tertuduh untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat bahawa kesalahan terhadap kanak-kanak adalah berat dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya.

Selepas hukuman dijatuhkan, pihak pembelaan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan permohonan rayuan difailkan, namun permohonan tersebut ditolak oleh mahkamah.

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan kerana melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki
  • Hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah
  • Tertuduh diarah menjalani kaunseling dan dikenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman
  • Perbuatan tertuduh berlaku pada 15 Disember 2023 di Batu Berendam, Melaka Tengah
  • Hukuman dikenakan dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!