Nasib budak flat: Beri masa depan cerah buat generasi baharu

PENDEDAHAN Sinar Harian pada 15 Disember lalu bertajuk 'Nasib Budak Flat' membuka mata masyarakat terhadap realiti pahit dihadapi anak-anak yang membesar dalam persekitaran perumahan kos rendah atau projek perumahan rakyat (PPR).
Negara membangun, bandar maju tetapi di sebalik kemegahan kota raya itu, tersembunyi kisah kanak-kanak yang bergelut dengan kemiskinan bandar, keciciran pendidikan serta kekurangan sokongan sosial.
Keluarga di flat dan PPR berdepan tekanan kos sara hidup tinggi, ruang kediaman sempit serta persekitaran sosial yang mencabar.
Selain terdedah kepada risiko keciciran sekolah, kanak-kanak ini berupaya terjebak pengaruh negatif dan masalah kesihatan mental akibat tekanan hidup seharian.
Justeru, langkah menyelamatkan budak flat tidak boleh bersifat sementara atau reaktif.
Sebaliknya, pendekatan bersepadu perlu digerakkan melibatkan kerajaan, pihak sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Sepertimana pakar sosiologi dan pembangunan komuniti dari Universiti Teknologi Mara, Dr Asiyah Kassim berkata baru-baru ini, kanak-kanak yang tinggal di sekitar flat dibelenggu kemiskinan multi dimensi.
Selepas beliau mencadangkan beberapa langkah menyelamatkan nasib budak flat, terbaharu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri tampil mengemukakan sembilan pendekatan dalam menangani isu berkenaan.
Fokusnya tidak lain tidak bukan, memberi perlindungan, kesejahteraan dan pembangunan kanak-kanak flat.
Sembilan pendekatan utama itu adalah pemantauan dan pengesanan awal kanak-kanak berisiko, pengurusan kes dan perlindungan kanak-kanak, perlindungan undang-undang Pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001 serta intervensi berfokus keluarga.
Selain itu, sokongan psikososial dan kesihatan mental, pembangunan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), kerjasama rentas kementerian dan agensi, perlindungan mangsa jenayah seksual bawah umur serta penempatan alrernatif sebagai langkah terakhir.
Begitu juga penglibatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menggariskan lapan fokus utama seperti Model Baharu Program Residensi Rakyat (PRR), pematuhan spesifikasi minimum keluasan unit, penggunaan sistem QLASSIC serta elemen perumahan mesra kanak-kanak dan komuniti.
Di samping itu, penambahbaikan keselamatan dan kemudahan, reka bentuk unit lebih praktikal, pendekatan kelestarian dan tenaga hijau serta rujukan model perumahan antarabangsa.
Harapan budak flat dan anak-anak PPR sebenarnya tidak besar, mereka hanya mahukan peluang yang adil.
Jika sistem sokongan pendidikan dan sosial diperkukuh, anak-anak ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dan membina masa depan yang lebih cerah.
Kegagalan atau kelewatan bertindak hari ini bukan sekadar menafikan hak mereka, malah berisiko melahirkan generasi bandar yang terus terpinggir.
Justeru, diharap perkara yang digariskan kementerian dan agensi berwajib mampu direalisasikan tidak lama lagi dalam usaha menuntaskan kemiskinan multi dimensi ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

