Lebih 40 nelayan tak dapat ke laut, sampan rosak akibat arus deras

SITIAWAN - Sebanyak 46 orang nelayan di kawasan Batu 8, Lekir di sini hilang punca pendapatan sementara apabila seminggu tidak dapat ke laut selepas sampan mereka rosak dibadai arus banjir minggu lalu.
Arus deras yang membawa bersama sisa banjir pada 14 Disember lalu menyebabkan sampan-sampan milik nelayan pecah dan karam termasuk enjin bot.
Seorang nelayan yang ditemui, Zabri Musanih, 64, mengakui bencana yang menimpa mereka itu merupakan kejadian pertama dialami.
Jelasnya, lebih menyedihkan sampannya yang musnah itu baru sahaja dibaiki dua minggu lalu dengan kos RM380.

"Masa itu lebih kurang 9 malam tiba-tiba timbunan rumput yang entah datang dari mana dibawa arus terus menghentam dan hanyutkan sampan saya dan nelayan lain.
"Kami hanya mampu lihat sahaja sampan-sampan ini pecah sebab terlalu bahaya untuk diselamatkan sebab arus deras," katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Khas Bencana Alam Nelayan Manjung Selatan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pasir Pandak Batu 8 Lekir di sini pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan turut dihadiri Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Seorang lagi nelayan, Muhammad Haris Jamin, 34, mengakui hilang punca pendapatan selepas kejadian tersebut kerana selain sampan, enjin serta peralatan menangkap ikan turut hanyut.
Katanya, ketika ini hanya elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sahaja yang membantu meringankan beban sementara sampan dibaiki dan peralatan menangkap ikan diperoleh.
"Kalau nak dianggarkan kerugian ini tak pastilah, mungkin lebih RM10,000. Saya pun baru lima tahun jadi nelayan.
"Cuma saya harap pihak berkaitan membantu kami nelayan di sini untuk kembali ke laut mencari rezeki," katanya yang juga orang kurang upaya (OKU).
Prihatin dengan nasib yang dialami nelayan tersebut, kerajaan negeri Perak menyediakan peruntukan khas sebanyak RM20,500 kepada 25 nelayan berdaftar.
Mohd Zolkafly berkata, peruntukan itu diluluskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana simpati dengan nelayan di kawasan berkenaan.
Jelasnya, pemberian tersebut merupakan sumbangan awal sebelum bantuan lanjut disalurkan kepada nelayan berkenaan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Ringkasan AI
- Nelayan di kawasan Batu 8, Lekir kehilangan punca pendapatan apabila sampan mereka rosak dibadai arus banjir
- Arus deras banjir pada 14 Disember menyebabkan sampan pecah dan enjin bot karam
- Seorang nelayan, Zabri Musanih, menyatakan kejadian itu adalah pertama kali berlaku dan sampannya baru sahaja dibaiki dengan kos RM380
- Muhammad Haris Jamin, nelayan lain, mengalami kerugian besar termasuk peralatan menangkap ikan dan menyatakan hanya elaun nelayan RM300 yang meringankan beban
- Kerajaan negeri Perak menyediakan peruntukan khas RM20,500 untuk membantu 25 nelayan berdaftar di kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

