Penduduk lega, jambatan rosak akibat banjir akan diganti

PONTIAN - Penduduk Kampung Parit Rambai, Sanglang di sini, menarik nafas lega apabila sebuah jambatan baharu dianggarkan bernilai lebih RM1juta bakal dibina menggantikan jambatan yang rosak ketika banjir pada akhir tahun lalu.
Ketua Kampung Parit Terus Kawasan 3, Mukim Ayer Baloi, Muslim Jupri berkata, kerosakan jambatan tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk termasuk urusan menghantar anak ke sekolah, pergerakan nelayan serta aktiviti harian penduduk kampung.
“Penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif yang mengambil masa hampir 20 minit, sedangkan sebelum ini hanya sekitar lima minit.
"Ketika banjir pada November lalu, sekurang-kurangnya 15 buah rumah terjejas dan pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Beliau berkata, jambatan berkenaan merupakan laluan utama penduduk ke Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa dan Sekolah Agama Seri Sekawan Desa, selain menjadi penghubung ke Parit Kahar dan kawasan sekitarnya.
Penduduk, Ahmad Masi, 60, berkata, pembinaan jambatan baharu disambut baik kerana ia adalah salah satu laluan singkat kepada penduduk.
"Jambatan baharu yang akan dibina membantu mengurangkan masa perjalanan dan menjimatkan kos pengangkutan," ujarnya
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.8 juta bagi pembinaan dua jambatan baharu, masing-masing di Kampung Parit Rambai Sanglang dan Kampung Permatang Sepam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, jambatan Kampung Parit Rambai Sanglang rosak akibat rempuhan gumpalan rumput tebal ketika musim banjir, manakala jambatan Kampung Permatang Sepam pula dikenal pasti tidak selamat digunakan sejak Mei tahun lalu.
“Kedua-dua jambatan lama yang dibina lebih 50 tahun lalu akan digantikan dengan reka bentuk baharu tanpa tiang di bahagian tengah bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat arus deras dan timbunan rumput.
"Sementara menunggu pembinaan jambatan kekal, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membina jambatan Bailey sementara bagi memudahkan kira-kira 500 penduduk Kampung Permatang Sepam menjalankan urusan harian," katanya.
Ringkasan AI
- Jambatan baru bernilai lebih RM1 juta akan dibina di Kampung Parit Rambai, Sanglang untuk menggantikan yang rosak akibat banjir
- Kerosakan jambatan sebelumnya menyebabkan penduduk menggunakan laluan alternatif yang memakan masa hampir 20 minit
- Jambatan tersebut merupakan laluan utama ke sekolah dan penghubung ke kawasan sekitar
- Pembinaan jambatan baru disambut baik oleh penduduk kerana dapat mengurangkan masa perjalanan dan menjimatkan kos
- Kementerian PETRA meluluskan RM2.8 juta untuk pembinaan dua jambatan baru dengan reka bentuk baharu untuk mengurangkan risiko kerosakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

