LZS agih RM36.5 juta bantuan pendidikan

CYBERJAYA - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan peruntukan sebanyak RM36.5 juta kepada 39,240 ketua keluarga asnaf fakir, miskin serta mualaf di negeri itu bagi sesi persekolahan tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, agihan itu meliputi bantuan yuran persekolahan dan bantuan kelengkapan peralatan persekolahan untuk setiap anak asnaf.
Menurutnya, bantuan yang diagihkan melibatkan 651 murid pra sekolah, 42,569 murid sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama, serta 42,116 pelajar sekolah menengah kebangsaan atau sekolah menengah agama.
"Jumlah keseluruhan pelajar asnaf di Selangor yang akan disantuni dengan wang zakat adalah seramai 85,336 pelajar," katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan 2026 di sini pada Khamis.

Jelas beliau, kadar minimum bagi bantuan yuran persekolahan yang akan diterima oleh setiap pelajar tadika dan prasekolah adalah RM100 seorang, manakala RM150 bagi murid sekolah rendah serta RM150 bagi pelajar sekolah menengah.
Kadar maksimum yang akan diterima adalah RM1,200 setiap keluarga serta tambahan token keperluan RM100, dengan kadar maksimum RM800 bagi setiap keluarga berdasarkan tahap sekolah tanggungan isi rumah," katanya.
Ujar Mohd Khaidzir, bantuan itu akan diterima terus oleh ketua keluarga melalui akaun, e-dompet, baucar dan tunai bermula 30 Disember ini.
“Bagi meringankan lagi beban, LZS turut menyediakan bantuan kelengkapan peralatan persekolahan meliputi pakaian seragam dan peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya.
"Setiap pelajar yang menerima bantuan boleh membeli sepasang pakaian seragam sekolah, dan selebihnya mereka bebas untuk membuat penebusan peralatan sekolah yang lain seperti beg, kasut, stoking, alat tulis, baju sukan atau pendidikan jasmani, baju kokurikulum, buku atau lain-lain, berdasarkan syarat dan panduan yang telah ditetapkan," jelasnya.
Bagi penebusan bantuan kelengkapan peralatan persekolahan, beliau menjelaskan, langkah itu boleh dibuat bermula 20 Disember 2025 sehingga 19 Mac 2026 melalui e-dompet menggunakan aplikasi Nine.
"Penerima bantuan di semua sembilan daerah boleh mengunjungi lima pasar raya yang telah ditetapkan LZS di seluruh daerah," katanya.

Tegas beliau, bantuan pendidikan itu bukan sekadar untuk meringankan beban sementara, namun ia adalah satu pelaburan jangka panjang bagi memutuskan rantaian kemiskinan antara generasi.
Menurutnya, kejayaan seorang anak bukan sahaja mengubah kehidupannya sendiri, tetapi mampu mengangkat martabat seluruh keluarga kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

