Jasa Merin, MAIDAM agih bantuan zakat kepada 138 asnaf

KEMAMAN - Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengangihkan sumbangan zakat kepada seramai 138 penerima terdiri dalam kalangan golongan asnaf di sekitar daerah ini sempena Majlis Agihan Bantuan Zakat 2025.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Jasa Merin (M) Sdn Bhd, Ahmad Khairuddin Abdullah berkata, penerima sumbangan itu melibatkan asnaf di sekitar Kemaman termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Menurutnya, jumlah peruntukan keseluruhan agihan berkenaan sebanyak RM106,200 melibatkan dua per lapan bahagian wakalah MAIDAM serta sumbangan daripada Jasa Merin sendiri.
"Majlis ini merupakan penganjuran kali ketiga Jasa Merin dengan kerjasama MAIDAM sebagai kesinambungan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.
"Jasa Merin amat menitikberatkan kebajikan masyarakat setempat dan program seperti ini adalah antara usaha berterusan kami untuk membantu golongan memerlukan," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Khamis.
Beliau berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, agihan zakat pada tahun ini dilaksanakan dalam bentuk baucar pembelian yang boleh digunakan di Pasar raya Sabasun.
"Baucar yang disediakan perlu digunakan dalam tempoh enam bulan dan boleh ditebus di mana-mana cawangan Sabasun di seluruh Terengganu," katanya.
Ahmad Khairuddin berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu meringankan beban penerima, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar.
"Dengan arus pembangunan dan kos sara hidup yang terus meningkat, bukan sahaja golongan berpendapatan rendah terkesan, malah hampir semua lapisan masyarakat turut merasainya.
"Justeru, kerjasama strategik antara MAIDAM dan organisasi swasta amat penting bagi memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MAIDAM atas kepercayaan yang diberikan serta komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan dan pengagihan zakat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Katanya, keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan asnaf bukan sahaja diterjemahkan melalui agihan zakat malah turut melibatkan penambahbaikan bantuan bulanan kepada kumpulan sasar daripada semasa ke semasa.
Ringkasan AI
- KEMAMAN - Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd dan MAIDAM mengagihkan zakat kepada 138 penerima asnaf
- Agihan zakat berjumlah RM106,200 dari MAIDAM dan sumbangan Jasa Merin
- Ini adalah kerjasama ketiga antara Jasa Merin dengan MAIDAM dalam usaha CSR
- Baucar pembelian untuk zakat boleh digunakan di pasar raya Sabasun di Terengganu
- Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup penerima zakat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
