Konflik Thailand–Kemboja kembali memuncak

Seorang lelaki memeriksa kawasan rosak akibat serangan udara tentera Thailand di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey.
Seorang lelaki memeriksa kawasan rosak akibat serangan udara tentera Thailand di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey.
A
A
A

PHNOM PENH – Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak apabila tentera udara Thailand melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan di bandar Poipet, sebuah hab kasino utama di sempadan kedua-dua negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap perkembangan konflik serantau.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja, jet pejuang Thailand menggugurkan tiga butir bom di kawasan Poipet pada Khamis, menyebabkan kerosakan terhadap sebuah gudang serta beberapa premis hartanah berhampiran.

Sebuah garaj rosak akibat serangan udara tentera Thailand di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey.
Sebuah garaj rosak akibat serangan udara tentera Thailand di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey.

Dua orang awam dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat serangan tersebut.

Poipet merupakan bandar sempadan yang sibuk dan terkenal sebagai pusat kasino yang sering dikunjungi penjudi dari Thailand.

Ia juga menjadi laluan utama pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Sebuah rumah rosak akibat serangan tentera Thailand di wilayah Banteay Meanchey.
Sebuah rumah rosak akibat serangan tentera Thailand di wilayah Banteay Meanchey.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Tentera Udara Thailand, Jackkrit Thammavichai, mengesahkan serangan itu dengan mendakwa serangan tersebut menyasarkan sebuah 'pusat logistik' yang digunakan untuk menyimpan roket dan peralatan ketenteraan Kemboja.

“Fasiliti berkenaan telah digunakan bagi tujuan ketenteraan,” katanya kepada pemberita, sambil menegaskan serangan itu adalah langkah pertahanan.

Namun, pihak Kemboja menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan serangan ke atas kawasan awam sebagai tindakan berbahaya yang mengancam keselamatan orang awam.

Pertempuran terbaharu antara dua negara Asia Tenggara itu sejak bulan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 nyawa di Thailand dan 18 di Kemboja, selain menyebabkan lebih 800,000 penduduk terpaksa dipindahkan, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.

Konflik ini berpunca daripada pertikaian sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer yang diwarisi sejak era penjajahan, termasuk pertindihan tuntutan wilayah di sekitar beberapa tapak kuil purba di kawasan sempadan.

Kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus keganasan terbaharu, dengan tuduhan serangan terhadap orang awam terus berbalas.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, dalam satu kenyataan pada Khamis menggesa gencatan senjata segera.

“Keselamatan orang awam serta kepulangan mereka ke kediaman masing-masing mesti menjadi keutamaan,” katanya.

Penduduk mula mengosongkan kawasan susulan serangan udara di wilayah Siem Reap.
Penduduk mula mengosongkan kawasan susulan serangan udara di wilayah Siem Reap.

Sementara itu, Thailand memaklumkan antara 5,000 hingga 6,000 rakyatnya masih terperangkap di Poipet selepas Kemboja menutup laluan sempadan darat.

Pihak Kemboja menyatakan penutupan itu merupakan langkah perlu bagi mengurangkan risiko terhadap orang awam, sambil menegaskan laluan udara masih dibuka.

Orang ramai memegang sepanduk dan mengibarkan bendera Kemboja semasa menyertai perarakan bagi menyokong Kemboja serta menuntut keamanan dalam konflik sempadan Kemboja–Thailand, di Phnom Penh.
Orang ramai memegang sepanduk dan mengibarkan bendera Kemboja semasa menyertai perarakan bagi menyokong Kemboja serta menuntut keamanan dalam konflik sempadan Kemboja–Thailand, di Phnom Penh.

China turut campur tangan apabila mengumumkan penghantaran utusan khas hal ehwal Asia bagi menjalankan diplomasi ulang-alik antara Bangkok dan Phnom Penh, dalam usaha merapatkan jurang dan memulihkan keamanan.

Menteri Luar China, Wang Yi, menggesa kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata secepat mungkin, sambil memberi amaran bahawa tahap keganasan kali ini jauh lebih serius berbanding insiden terdahulu.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN turut memainkan peranan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan keyakinan berhati-hati menjelang mesyuarat tergempar menteri-menteri luar ASEAN yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Kesatuan Eropah pula menyatakan kesediaan membantu pemantauan gencatan senjata menggunakan imejan satelit, sambil menegaskan konflik itu tidak boleh dibiarkan terus berlanjutan.-AFP

INFO

Butiran serangan:

- Jet pejuang Thailand menggugurkan tiga bom.

- Sebuah gudang rosak, beberapa harta awam terjejas.

- Dua orang awam cedera ringan.

 

 

Ringkasan AI

  • Ketegangan sempadan Thailand-Kemboja meningkat dengan serangan jet Thailand di Poipet
  • Dua awam cedera, kerosakan pada gudang dan hartanah disebabkan oleh tiga bom
  • Thailand mendakwa serangan menyasar pusat logistik kemboja untuk tujuan ketenteraan
  • Konflik sempadan berakar dari pertikaian wilayah sejak era penjajahan
  • PBB dan China serta Malaysia (Pengerusi ASEAN) menggesa gencatan senjata dan usaha diplomasi untuk mengurangkan keganasan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!