JHEAIPP perjelas kehadiran pegawai di majlis kahwin pelbagai bangsa

Gambar upacara 'Interfaith Water Ceremony' yang tular di media sosial sejak Khamis.
Gambar upacara 'Interfaith Water Ceremony' yang tular di media sosial sejak Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tampil menjelaskan isu tular yang mendakwa penglibatan umat Islam dalam dakyah sesat menerusi 'Interfaith Water Ceremony' yang tular di media sosial sejak Khamis.

Menurut kenyataan JHEAIPP, isu berkenaan timbul selepas satu akaun Facebook memuat naik artikel bertajuk Siri 18: Muslim Terlibat Dalam Dakyah Sesat Interfaith Water Ceremony pada pada Khamis yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

JHEAIPP menjelaskan, kandungan yang dipetik dalam artikel berkenaan merujuk kepada satu program yang berlangsung tujuh tahun lalu di sebuah hotel di Seberang Jaya.

"Program tersebut merupakan anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bertujuan meraikan pasangan yang telah berkahwin, melibatkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

"Kehadiran pegawai JHEAIPP dalam program berkenaan adalah semata-mata untuk membaca doa khusus bagi meraikan pasangan Muslim yang hadir,"menurut kenyataan itu pada Jumaat.

JHEAIPP turut memaklumkan bahawa program tersebut pernah dilaporkan secara rasmi dan disiarkan menerusi media tempatan pada tahun yang sama, dengan liputan berita yang memfokuskan kepada sambutan dan pengiktirafan terhadap pasangan yang telah berkahwin daripada pelbagai bangsa.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat tafsiran atau andaian yang boleh mengelirukan serta menimbulkan salah faham terhadap peranan dan penglibatan agensi agama Islam negeri," jelas kenyataan berkenaan.

Terdahulu pemilik akaun Facebook, Ahmad Iqram Mohamad Noor dalam satu hantaran menerbitkan satu artikel 'Muslim Terlibat Dalam Dakyah Sesat Interfaith Water Ceremony'.

Menurutnya, dalam program Loving Couple Festival di dewan sebuah hotel itu pihak gereja turut melaksanakan ritual 'Interfaith Water Ceremony'.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Interfaith Water Ceremony atau Unity Water Ceremony merupakan sebuah upacara berdoa bersama dengan pemimpin agama-agama lain yang menjadi agenda penting dalam ritual Gereja Unification.

"Dalam upacara ini, para pemimpin pelbagai agama akan menuangkan air ke dalam sebuah bekas (kebiasaannya mangkuk kaca) selepas bacaan doa atau ayat suci daripada setiap wakil agama, sebagai lambang kepelbagaian yang bertemu dalam satu kesatuan” di bawah Tuhan.

"Mereka menjadikan air sebagai lambang kehidupan dan penyucian, manakala campuran air melambangkan perpaduan agama-agama dalam satu kesatuan. Pertubuhan gereja, Universal Peace Federation (UPF) sering menyelitkan upacara ini dalam sesi doa rentas agama,"katanya.

Beliau berkata, upacara berkenaan jelas menyanggahi pegangan akidah Islam.

Katanya, ketinggian Islam tidak boleh disamaratakan dengan kedudukan agama lain.

"Tambahan pula dipaparkan gambar Sun Myung Moon dan Hak Ja Han sebagai latar program. Mereka ini adalah si Dajjal yang mengaku sebagai Al-Masih, Penyelamat Manusia, jelmaan Tuhan di bumi, Anak Tuhan dan sebagainya.

"Suami isteri ini jugalah yang memperendahkan baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang mulia. Seorang Muslim tidak boleh meredhai perkara seperti ini!

"Pihak Jabatan dan Majlis agama boleh teruskan berdiam. Tetapi saya tidak akan berhenti," tulisnya lagi.

Ringkasan AI

  • JHEAIPP menjelaskan isu dakyah sesat yang tular melibatkan umat Islam dalam 'Interfaith Water Ceremony'
  • Isu ini timbul dari satu artikel di Facebook yang mendakwa penglibatan Muslim dalam program tujuh tahun lalu
  • Program tersebut di Seberang Jaya anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meraikan pasangan berkahwin lintas agama
  • Pegawai JHEAIPP hadir semata-mata membaca doa untuk pasangan Muslim
  • JHEAIPP menyeru orang ramai tidak membuat andaian yang boleh mengelirukan tentang penglibatan mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!