Pelajar tahfiz dikasari, Ahmad Zahid gesa tindakan tegas diambil

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap tindakan undang-undang dapat diambil segera terhadap individu yang didapati bersalah mengasari dan mendera secara fizikal pelajar tahfiz.
Menurut beliau, tindakan berkenaan perlu dilaksanakan selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada demi menegakkan keadilan dan mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.
Tambahnya, sebarang bentuk kekerasan, penderaan atau layanan yang mencabul maruah kanak-kanak adalah tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam institusi yang sepatutnya menjadi medan pembinaan akhlak, ihsan dan kasih sayang.
"Saya memandang serius dan melahirkan kekesalan yang mendalam terhadap insiden-insiden yang tular baru-baru ini melibatkan keganasan terhadap pelajar institusi pendidikan agama, termasuk kejadian di Sabah serta rakaman penderaan fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz.
"Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencederakan mangsa, malah mencemar nama baik pendidikan Islam dan institusi tahfiz yang selama ini menjadi benteng pembentukan sahsiah ummah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu tular video baru-baru ini memaparkan tindakan seorang tenaga pengajar didakwa memukul pelajarnya menggunakan topi keledar manakala dalam kejadian berasingan, seorang pelajar menggelupur kesakitan akibat dirotan bertalu-talu.
Ahmad Zahid berkata, insiden tersebut bagaimanapun tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz di negara ini.
Jelas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, majoriti institusi tahfiz, guru dan para asatizah telah melaksanakan amanah mendidik para pelajar dengan penuh dedikasi, hikmah dan tanggungjawab.
"Bagi memperkukuh perlindungan pelajar serta tadbir urus institusi tahfiz secara menyeluruh, kerajaan sedang mempergiat usaha ke arah pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun hadapan.
"Dasar ini akan memberi tumpuan antaranya kepada penguatkuasaan pematuhan undang-undang; pemantapan kurikulum dan model Pendidikan Tahfiz Kebangsaan, pemerkasaan modal insan dan tadbir urus institusi, peluasan laluan pendidikan serta kebolehpasaran huffaz," katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) akan dilancarkan sempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara di Bagan Datuk, Ahad ini.
"Ia sebagai mekanisme penting untuk menyeragamkan standard kualiti institusi tahfiz, meliputi aspek tadbir urus, kebajikan pelajar, kualiti pengajaran, prasarana dan pematuhan perundangan, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin serta berakhlak.
"Saya yakin langkah-langkah bersepadu ini akan menjadi asas kukuh dalam memulihkan keyakinan masyarakat, memperkasa institusi tahfiz secara berhemah dan memastikan pendidikan al-Quran terus berkembang dalam kerangka yang berperikemanusiaan, berperaturan serta berteraskan nilai rahmah," katanya.
Beliau berharap, ikhtiar yang dilaksanakan itu menjadi asbab institusi tahfiz terus dimartabatkan sebagai medan melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan dihormati, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan ummah serta pembangunan negara.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri berharap tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu yang mengasari pelajar tahfiz
- Kekerasan terhadap kanak-kanak dalam institusi pendidikan agama dipandang serius dan tidak boleh diterima
- Insiden kekerasan tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz di Malaysia
- Kerajaan mempergiat usaha melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 untuk memperkukuh perlindungan pelajar tahfiz
- Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia akan dilancarkan untuk menyeragamkan standard kualiti institusi tahfiz
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
