'Ahmad Zahid Bapa Tahfiz Negara, layak bela kebajikan pelajar tahfiz - Mohd Asna

LENGGENG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan tokoh paling layak menyentuh dan membela isu kebajikan pelajar tahfiz di negara ini memandangkan peranan besar dan sumbangan konsisten beliau dalam pembangunan pendidikan tahfiz negara.
Bahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu wajar dianggap sebagai 'Bapa Tahfiz Negara' kerana sentiasa memikirkan nasib, hala tuju serta pemerkasaan pelajar tahfiz di setiap peringkat umur di seluruh negara.
Tambahnya, peranan dan sumbangan besar Ahmad Zahid terhadap pembangunan pendidikan tahfiz sejak sekian lama membuktikan keprihatinan beliau bukan bersifat retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui dasar dan pelaksanaan konkrit.
“Seluruh pelajar tahfiz di Malaysia sebenarnya bertuah kerana mempunyai seorang ‘bapa’ yang bukan sahaja memahami keperluan mereka, malah secara konsisten memperjuangkan pengiktirafan dan masa depan pendidikan tahfiz
"Antara sumbangan paling awal Ahmad Zahid adalah pelaksanaan Program Pra-Tahfiz di Tadika Kemas yang menyaksikan silibus pendidikan awal kanak-kanak diperkukuh dengan hafazan surah-surah lazim sebagai asas pembentukan sahsiah dan kecintaan terhadap al-Quran.
“Program ini mewajibkan hafazan surah-surah dalam Juzuk 30 seperti al-Fatihah, an-Nas, al-Falaq, al-Ikhlas dan beberapa surah pendek lain. Hasilnya, kanak-kanak seawal usia tadika sudah mampu menghafaz dan memahami asas al-Quran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid berharap tindakan undang-undang dapat diambil segera terhadap individu yang didapati bersalah mengasari dan mendera secara fizikal pelajar tahfiz.
Hal ini susulan tular video baru-baru ini memaparkan tindakan seorang tenaga pengajar didakwa memukul pelajarnya menggunakan topi keledar manakala dalam kejadian berasingan, seorang pelajar menggelupur kesakitan akibat dirotan bertalu-talu.
Ahmad Zahid berkata, insiden tersebut bagaimanapun tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz di negara ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asna berkata, usaha menaik taraf Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada MRSM Ulul Albab turut membuktikan komitmen Ahmad Zahid dalam melahirkan generasi huffaz berilmu dan berkemahiran tinggi.
Menurutnya, program tersebut menggabungkan kurikulum kebangsaan, penekanan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta hafazan al-Quran sehingga 30 juzuk, selain pembentukan sahsiah dan kepimpinan pelajar.
"Apabila melihat prestasi akademik dan sahsiah pelajar Ulul Albab yang lebih cemerlang, Ahmad Zahid memperluaskan inisiatif ini sehingga melibatkan keseluruhan 57 MRSM di seluruh negara," katanya.
Beliau turut menyifatkan inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)Tahfiz sebagai langkah strategik yang membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk menguasai kemahiran teknikal seperti automotif, elektronik dan teknologi maklumat tanpa mengabaikan hafazan al-Quran.
"Graduan TVET Tahfiz bukan sahaja huffaz, tetapi juga kompeten dan berdaya saing dalam pasaran kerja,” katanya.
Mengulas gesaan Ahmad Zahid agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mengasari pelajar tahfiz, Mohd Asna menegaskan pendirian tersebut selari dengan perjuangan beliau sejak awal dalam menjaga maruah dan keselamatan institusi tahfiz.
"Ini bukan kenyataan bersifat emosi, tetapi suara seorang bapa yang benar-benar memahami dan membela anak-anak tahfiz di negara ini," katanya.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianggap layak membela isu kebajikan pelajar tahfiz di Malaysia sebagai 'Bapa Tahfiz Negara'
- Beliau mempunyai peranan besar dan sumbangan konsisten dalam pembangunan pendidikan tahfiz
- Antara sumbangannya adalah pelaksanaan Program Pra-Tahfiz di Tadika Kemas yang memperkukuh silibus pendidikan awal dengan hafazan surah-surah lazim
- Ahmad Zahid turut menyarankan agar tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang mengasari pelajar tahfiz
- Usaha menaik taraf MRSM kepada MRSM Ulul Albab dan inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz menunjukkan komitmennya terhadap pendidikan dan kebajikan pelajar tahfiz
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

