Menteri Agama ambil tindakan undang-undang selepas difitnah dalang aktiviti songsang

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang menuduhnya dalang aktiviti songsang.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Nai'm menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh individu berkenaan adalah tidak benar, bersifat fitnah serta berniat jahat.
Tegas beliau, firma guaman Akberdin & Co yang mewakilinya telah mengeluarkan Notice of Demand terhadap individu tersebut.
"Kandungan yang diterbitkan sebagaimana dinyatakan oleh pihak peguam dalam notis tersebut bukan sahaja mengandungi dakwaan yang tidak berasas, bahkan membawa maksud yang boleh merosakkan reputasi, maruah serta kedudukan saya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia," katanya pada Selasa.
Mohd Nai'm berkata, tuduhan sedemikian juga mencemarkan integriti institusi Hal Ehwal Agama yang dipimpinnya.
"Tndakan undang-undang ini adalah bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara," ujar Na'im.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan sivil itu diambil berdasarkan hak undang-undang beliau sebagai warganegara dan bukan untuk menghukum sesiapa secara peribadi.
“Tujuannya bagi memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, manipulasi persepsi dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat melalui maklumat palsu,” katanya.
Menurut Mohd Na’im, tindakan lanjut berkaitan kes tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada firma guaman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau menegaskan komitmen untuk menghormati proses perundangan dan menyerahkan penyelesaian isu kepada prosedur sewajarnya.
“Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia Madani, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara,” katanya.
Hujung bulan lalu, negara dikejutkan dengan serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah spa yang dipercayai menjalankan aktiviti songsang di Kuala Lumpur.
Seramai 202 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral dicekup dalam serbuan itu.
Ringkasan AI
- Menteri Agama memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang menuduhnya dalang aktiviti songsang
- Tuduhan terhadap Mohd Nai'm adalah tidak benar, bersifat fitnah serta berniat jahat
- Firma guaman Akberdin & Co mewakili Mohd Nai'm telah mengeluarkan Notice of Demand kepada individu yang menuduh
- Tindakan undang-undang bertujuan mempertahankan kebenaran, melindungi reputasi dan menghentikan penyebaran fitnah
- Mohd Na'im berkata tindakan sivil diambil untuk memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

