2025 badai bola sepak negara

Hukuman dikenakan FIFA ini nyata memberi impak besar kepada bola sepak negara apatah lagi Harimau Malaya dalam usaha memperbaiki ranking dunia. Foto hiasan
Hukuman dikenakan FIFA ini nyata memberi impak besar kepada bola sepak negara apatah lagi Harimau Malaya dalam usaha memperbaiki ranking dunia. Foto hiasan
A
A
A

LEBIH kurang dua minggu lagi tahun 2025 bakal melabuhkan tirainya.

Namun, apa yang tidak enaknya apabila satu persatu insiden melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melibatkan isu pemain warisan negara.

Ia bermula selepas Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan pelanggaran serius membabitkan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen, September lalu.

Terbaharu, FIFA membuat keputusan Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.

Ini melibatkan pertembungan Malaysia menentang Cape Verde pada 29 Mei lalu dengan keputusan seri 1-1; Malaysia bertemu Singapura (4 September ) yang dimenangi Malaysia 2-1; dan Malaysia menentang Palestin (8 September) yang dimenangi Malaysia 1-0.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIFA yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Jorge Palacio pada 12 Disember lalu.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA turut menjatuhkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain serta denda sekitar RM10,800 setiap seorang dan kira-kira RM1.8 juta kepada FAM.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata, pihaknya telah memanjangkan isu berkenaan ke peringkat lebih tinggi dengan mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut beliau, CAS menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.

Artikel Berkaitan:

Hukuman dikenakan FIFA ini nyata memberi impak besar kepada bola sepak negara apatah lagi Harimau Malaya dalam usaha memperbaiki ranking dunia.

Sudah pasti FAM perlu menjawab segala bentuk pertuduhan selain memastikan motivasi pemain sentiasa dalam keadaan baik.

Adakah selepas ini FAM akan berdepan persepsi negatif pasukan bola sepak negara lain? Mungkin itu yang perlu dihadapi.

Sebagai penyokong dan peminat bola sepak, sudah pasti isu ini sedikit sebanyak memberi berjuta persepsi yang mahukan kebenaran dan penyelesaian segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!