PTPTN keputusan Kabinet, bukan isu individu – AMK Melaka

SHAH ALAM - Isu berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya perlu diputuskan secara kolektif di peringkat Kabinet.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Ezal Zamri menegaskan, pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi wajar dilihat sebagai sebahagian usaha memperkukuh agenda reformasi pendidikan tinggi negara di bawah Kerajaan Madani.
Menurutnya, langkah awal ke arah pendidikan percuma telah diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026, khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan untuk meringankan beban mahasiswa melalui dasar berperingkat dan realistik, bukan sekadar retorik.
Namun ujarnya, kedudukan Timbalan Menteri tidak boleh dianggap sebagai penentu mutlak kepada keputusan dasar utama, termasuk berkaitan reformasi PTPTN.
“Portfolio Menteri Pengajian Tinggi sendiri dipegang oleh wakil UMNO, justeru persoalan sebenar ialah sama ada UMNO bersedia menyokong dan memperluaskan dasar pendidikan percuma serta reformasi PTPTN yang dibawa ke peringkat Kabinet,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut menegaskan, cabaran tidak seharusnya dilemparkan kepada individu semata-mata kerana setiap keputusan memerlukan sokongan kolektif dalam kerajaan.
Ezal berkata, Kerajaan Madani memilih pendekatan berfasa dan berhemah dalam melaksanakan reformasi, dan pihaknya yakin dengan kebolehan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperluaskan lagi inisiatif pendidikan percuma secara bersasar selari dengan kemampuan kewangan negara.
Tambahnya, reformasi sebenar menuntut keikhlasan semua pihak dalam kerajaan untuk menyokong perubahan dasar secara bersama, bukan sekadar menyindir masa lalu, sebaliknya membina masa depan pendidikan yang lebih adil untuk generasi muda.
Ringkasan AI
- Isu PTPTN perlu diputuskan secara kolektif di Kabinet
- Pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merupakan usaha memperkukuh agenda reformasi pendidikan tinggi
- Langkah awal ke arah pendidikan percuma diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026 untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah
- Kedudukan Timbalan Menteri tidak menentukan sepenuhnya keputusan dasar utama termasuk berkaitan reformasi PTPTN
- Reformasi pendidikan memerlukan sokongan bersama semua pihak dalam kerajaan, bukan hanya individu tertentu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

