Ceraikan isteri semata-mata mahu jumpa Messi

KEGILAAN terhadap legenda bola sepak dunia, Lionel Messi ternyata tiada batasnya apabila seorang peminat fanatik mengakui sanggup melakukan apa sahaja termasuk menceraikan isterinya semata-mata mahu menatap wajah bintang Argentina itu.
Pengakuan mengejutkan itu dibuat ketika jelajah 'GOAT' (Greatest Of All Time) Messi di India yang mencetuskan fenomena luar biasa di negara tersebut.
Kehadiran pemenang Piala Dunia itu bersama rakan sepasukan Inter Miami, Rodrigo De Paul dan Luis Suarez di Kolkata telah mencetuskan gelombang luar biasa namun kisah seorang peminat muda dari negara jiran, Nepal paling mencuri tumpuan.
Demi merealisasikan impiannya, pemuda tersebut sanggup hadir dan ponteng kuliah untuk ke acara berkenaan di Kolkata.
Ketika ditemu bual agensi berita India, ANI, pemuda itu pada mulanya meluahkan rasa syukur kepada keluarganya iaitu bapa, abang, dan ibunya kerana memberi keizinan untuk dia mengembara demi minatnya.
Namun, kenyataan seterusnya mengenai isterinya nyata mengejutkan ramai pihak.
"Jantung kanan saya adalah keluarga, manakala jantung kiri saya adalah Messi.
"Saya boleh ceraikan isteri saya semata-mata mahu melihat Messi. Ya, itulah (tahap) cinta saya," katanya yang tular di media sosial.
Di sebalik kisah tular tersebut, acara yang berlangsung di Stadium Salt Lake, Kolkata itu tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan.
Ribuan peminat yang membanjiri stadium dilaporkan kecewa dan mula bertindak agresif apabila pandangan mereka untuk melihat idola itu terhalang.
Sebaik sahaja Messi turun ke padang, beliau dikawal ketat oleh pihak berkuasa sehingga menyukarkan penonton—yang telah membayar harga tiket yang mahal untuk melihatnya dengan jelas.
Kekecewaan memuncak apabila Messi beredar dari padang, menyebabkan segelintir penyokong mula membaling kerusi dan botol sebagai tanda protes.
Jelajah Messi di India itu kini dijadualkan bersambung ke Hyderabad, Mumbai, dan New Delhi dengan harapan penganjuran yang lebih baik di lokasi seterusnya.
Ringkasan AI
- Kegilaan terhadap Lionel Messi mendorong seorang peminat fanatik bersedia menceraikan isterinya untuk melihat wajah Messi
- Messi berada di India untuk jelajah 'GOAT' yang mencetuskan fenomena luar biasa
- Kehadiran Messi bersama Rodrigo De Paul dan Luis Suarez di Kolkata mencetuskan gelombang luar biasa
- Seorang pemuda dari Nepal sanggup ponteng kuliah dan melakukan perjalanan ke Kolkata untuk melihat Messi
- Kekecewaan timbul di Stadium Salt Lake, Kolkata apabila pandangan peminat terhalang dan beberapa mula bertindak agresif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
