'Kalau rasa kenyataan saya salah, dia boleh saman saya' – Ketua Polis Melaka

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menegaskan bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan pihaknya berhubung kes tembak tiga suspek di Durian Tunggal adalah berasaskan fakta dan bukannya dibuat sewenang-wenangnya.
Beliau berkata, penjelasan mengenai status wanita yang mendakwa sebagai isteri si mati dibuat susulan penularan di media sosial bahawa wanita tersebut mempunyai beberapa rekod jenayah.
“Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini sebagai Ketua Polis Negeri kerana menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan maklumat yang tular di media sosial,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Rabu.
Menurut beliau, terdapat perbezaan yang jelas antara individu yang dipanggil untuk memberi keterangan dengan individu yang ditangkap dalam sesuatu kes.
“Jika seseorang hanya dipanggil untuk memberi keterangan, ia tidak direkodkan sebagai rekod jenayah. Namun, sekiranya berlaku tangkapan, maka rekod tangkapan itu memang akan direkodkan.
“Dalam kes ini, memang terdapat 10 rekod tangkapan terhadap individu berkenaan,” katanya.
Dzulkhairi menegaskan bahawa polis tidak akan berdiam diri apabila terdapat cubaan mengelirukan masyarakat dengan kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar.
“Kalau dia merasakan kenyataan saya itu salah, atau sekadar untuk mengganggu siasatan, dia boleh mengambil tindakan undang-undang dan menyaman saya.
“Jangan sekadar membuat dakwaan tanpa asas dan cuba mengelirukan masyarakat dengan maklumat yang tidak benar atau bercanggah,” tegasnya.
Jumaat lalu, Dzulkhairi mendedahkan bahawa wanita yang mendakwa suaminya salah seorang daripada tiga suspek yang ditembak mati dalam insiden di Durian Tunggal pada November lalu sebenarnya bukan isteri lelaki berkenaan, sebaliknya hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama.
Katanya, siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu bukan sahaja tidak mempunyai hubungan suami isteri dengan suspek, malah mempunyai 10 rekod jenayah lampau sejak tahun 2012.
Susulan itu, peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki berkenaan menegaskan bahawa status perkahwinan atau rekod jenayah lampau individu yang dikaitkan dengan kes itu tidak relevan dengan kejadian berkenaan.
Peguam berkenaan, Rajesh Nagaraja berkata, pendedahan Dzulkhairi itu dianggap sebagai cubaan mengalih isu daripada kes sebenar.
Ringkasan AI
- Ketua Polis Melaka tegaskan kenyataan berkenaan kes tembak adalah berdasarkan fakta
- Penjelasan status wanita yang claim isteri si mati dibuat selepas penularan isu di media sosial
- Polis membezakan antara dipanggil memberi keterangan dengan ditangkap sebagai suspek
- Wanita yang mendakwa sebagai isteri suspek sebenarnya pasangan kekasih dengan 10 rekod jenayah
- Peguam keluarga suspek menyatakan status perkahwinan atau rekod jenayah tidak relevan dengan kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

