Duda 60 tahun beri alasan tak sihat, 'dijaga' gadis 20-an ketika ditangkap khalwat

JOHOR BAHRU – Seorang duda warga emas sanggup memandu sejauh 50 kilometer ke rumah seorang wanita muda bagi menjemputnya ke rumah di sini dengan alasan mahu dijaga kerana tidak sihat.
Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), serbuan dilakukan pada jam 2.15 pagi pada Selasa, selepas menerima aduan awam.
"Penguat kuasa masuk dan membuat pemeriksaan, menemui seorang wanita berseluar panjang dan berbaju t-shirt lengan panjang sedang baring di sofa dengan televisyen terbuka.
"Lelaki berusia 60-an itu mendakwa mengalami sakit dua serangkai dan wanita berusia 20-an tersebut datang untuk merawat serta menjaganya," menurut kenyataan JAINJ.
Jelasnya, hasil semakan mendapati lelaki tersebut seorang duda berumur 60-an, mempunyai cucu dan bekerja sebagai pekebun.
"Wanita itu pula masih anak dara, berasal dari utara dan berhijrah ke Johor Bahru untuk bekerja. Rumah teres dua tingkat itu mempunyai tiga bilik dan hanya mereka berdua berada di dalamnya semasa serbuan.
"Lelaki terbabit mendakwa wanita itu datang untuk menjaganya kerana bimbang duduk seorang diri dalam keadaan tidak sihat.
"Apabila ditanya jenis penyakit, lelaki itu berkata dia mengalami sakit dua serangkai dan kadang-kadang boleh pitam serta gelap mata," tambahnya.
JAINJ menegaskan, lelaki itu terkedu apabila diberitahu bahawa mereka mempunyai maklumat dia memandu lebih 50 kilometer untuk menjemput wanita berkenaan.
"Keesokannya pula pergi menghantarnya pulang ke rumah sewa. Kalaulah sakit, mana mungkin dia boleh memandu dalam kegelapan malam dengan hujan lebat," jelas kenyataan itu.
Tambah JAINJ, pasangan tersebut mendakwa memang ada perancangan untuk bernikah namun mengakui masyarakat sukar menerima hubungan mereka kerana perbezaan umur.
Ringkasan AI
- Seorang duda warga emas sanggup memandu sejauh 50 kilometer untuk menjemput wanita muda dengan alasan mahu dijaga
- Serbuan dilakukan oleh JAINJ selepas menerima aduan awam pada jam 2.15 pagi
- Ditemui seorang wanita muda di rumah duda itu, keduanya berada sendirian dalam rumah tersebut semasa serbuan
- Lelaki berusia 60-an tersebut mendakwa wanita tersebut datang untuk merawat dan menjaganya kerana sakit
- Pasangan tersebut mendakwa mempunyai perancangan untuk bernikah namun menghadapi kesukaran diterima masyarakat kerana perbezaan umur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

