Maritim Malaysia tahan kapal bersauh tanpa kebenaran

LUMUT – Sebuah kapal dagang berdaftar di Monrovia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas didapati bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Jarak di sini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kapal tersebut ditahan pada jam 5.50 petang di kedudukan 13 batu nautika barat laut pulau berkenaan.
Menurutnya, selain bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia, kapal itu juga gagal memaklumkan ketibaan di perairan negara.
"Kapal dagang ini dikendalikan 23 kru warga Pakistan, India, Rusia, Ukraine, Filipina dan Sri Lanka namun semua mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Mohamad Shukri memaklumkan pihaknya turut berjaya merampas 25 set bubu naga lengkap dengan bendera dan pelampung yang dipasang pada kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Pulau Talang.
Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan sekitar jam 9 pagi Jumaat oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia.
Jelasnya, bubu naga merupakan peralatan menangkap ikan yang dilarang kerana boleh mengancam ekosistem laut.
“Pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
"Maritim Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di perairan negara," katanya.
Beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

