Jalin kerjasama perangi fitnah, berita palsu

A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedia meneroka potensi kerjasama bersama Karangkraf dalam usaha memerangi fitnah dan berita palsu serta menyebarluaskan agenda nasional.

Timbalan Ketua Komunikasi Korporatnya, Ahmad Ammar Othman berkata, usaha berkenaan juga bertujuan untuk mempromosikan wacana yang sihat, berilmiah dan membina kepada masyarakat.

“Lawatan JPM ke Karangkraf membantu dalam memahami dengan lebih mendalam operasi, cabaran dan denyut nadi bilik berita Sinar Harian.

“Selain itu, ia membuka ruang dialog yang lebih telus bagi membolehkan kami berkongsi maklumat dan perancangan kerajaan secara terus,” katanya selepas melakukan lawatan bersama 13 kakitangan JPM di Karangkraf di sini pada Selasa.

Lawatan berkenaan turut meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 pada tahun ini bersama wakil Karangkraf dengan menyanyikan lagu dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Ujar Ahmad Ammar, lawatan tersebut diharap menjadi titik permulaan kepada jalinan lebih kukuh dan berpanjangan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, Unit Komunikasi Korporat JPM sentiasa membuka pintu bagi sebarang libat urus dan sedia menjadi rujukan utama dalam mendapatkan pengesahan serta maklumat berkaitan dasar kerajaan.

“Kami percaya kerajaan dan media mempunyai peranan berbeza, tetapi kita berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk melihat Malaysia terus maju, aman serta makmur.

“Kami berharap agar hubungan ini menjadi lebih erat, berlandaskan rasa hormat dan kepercayaan profesional,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Sinar Harian sebagai platform berita berwibawa memainkan peranan penting dalam landskap media masa kini yang dinamik dan dicabar oleh penyebaran maklumat tidak sahih.

“Usaha warga Karangkraf dalam mendidik dan memberi pencerahan kepada masyarakat adalah satu khidmat bakti yang amat besar kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, kunjungan JPM ke Karangkraf juga disifatkan sebagai jalinan hubungan silaturahim yang perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Walaupun JPM di Putrajaya dan Karangkraf berada di Shah Alam, namun kita bergerak dalam satu ekosistem yang sama.

“Yang penting kita dapat mencapai persefahaman untuk kebaikan bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!