Pinda Perlembagaan, wajibkan syarat Perdana Menteri Melayu Islam - Noh Omar

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda bagi menetapkan jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh individu Melayu beragama Islam.
Pengerusi Konvensyen Melayu 153, Tan Sri Noh Omar berkata, meskipun Perlembagaan telah memperuntukkan hak orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan beragama kepada penganut agama lain, terdapat satu aspek penting yang 'terlepas pandang' semasa penggubalannya.
"Dalam Perlembagaan negara, hak Melayu ada, hak agama Islam pun ada, hak agama lain pun ada. Semua dibagi kebebasan.
"Tetapi (dalam Perlembagaan) tidak sebut nak jadi Perdana Menteri mesti Melayu beragama Islam. Mungkin terlepas pandang," katanya ketika berucap di Konvensyen Melayu 153, di sini pada Ahad.
Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut membandingkan perkara tersebut dengan Perlembagaan Negeri Selangor yang mensyaratkan Menteri Besar mesti dalam kalangan Melayu Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang Melayu supaya kembali bersatu dan memperkukuh kekuatan politik bagi membolehkan pindaan Perlembagaan tersebut direalisasikan.
"Kalau kita kembali dengan kekuatan Melayu, kita pinda Perlembagaan ini dan letakkan Perdana Menteri mesti Melayu beragama Islam," ujarnya.
Sementara itu beliau menegaskan, penganjuran Konvensyen Melayu 153 bertujuan untuk menyedarkan orang Melayu mengenai keperluan bersatu mempertahankan kedudukan dan kedaulatan negara selepas 68 tahun kemerdekaan.
“Kemerdekaan Tanah Melayu ini tidak dicapai dengan mudah seperti difikirkan. Ia adalah hasil perjuangan orang Melayu pada waktu itu.
"Jadi konvensyen ini bukan bersifat sementara, sebaliknya akan diteruskan dengan gerakan lebih besar di seluruh negara," katanya.
Ringkasan AI
- Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda bagi menetapkan jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh individu Melayu beragama Islam
- Tan Sri Noh Omar menyatakan aspek penting yang 'terlepas pandang' dalam Perlembagaan ialah ketetapan agama dan etnik untuk jawatan Perdana Menteri
- Beliau membandingkan dengan Perlembagaan Negeri Selangor yang sudah mensyaratkan Menteri Besar mesti Melayu Islam
- Menyeru orang Melayu bersatu dan memperkukuh kekuatan politik untuk membolehkan pindaan Perlembagaan
- Konvensyen Melayu 153 bertujuan menyedarkan orang Melayu tentang keperluan bersatu mempertahankan kedudukan dan kedaulatan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

