'Saya terkejut dengan pendekatan siasatan' – Peguam Albert Tei

Mahajoth
Mahajoth
A
A
A

SEPANG – “Saya hadir untuk memberi kerjasama, namun terkejut dengan pendekatan siasatan yang dijalankan.”

Demikian reaksi peguam kepada ahli perniagaan, Albert Tei, Mahajoth Singh selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini pada Selasa berhubung laporan yang dibuat oleh isteri anak guamnya berkaitan satu operasi pihak berkuasa pada 28 November lalu.

Mahajoth Singh berkata, beliau menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) pada Isnin yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, kehadiran beliau dibuat selepas mendapatkan nasihat guaman susulan notis yang diterima.

"Saya hadir untuk memberi kerjasama, namun saya agak terkejut dengan pendekatan yang digunakan dalam siasatan ini.

"Antara soalan yang dikemukakan ialah sama ada saya mengenali Albert Tei. Pada pandangan saya, umum mengetahui siapa beliau.

"Saya tidak pasti sama ada perkara itu menjadi asas kukuh untuk memanggil seseorang bagi memberi keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan IPD Sepang di sini pada Selasa.

Mahajoth sebelum itu hadir sekitar jam 1.50 tengah hari bersama peguamnya Rajesh Nagarajan untuk dirakam percakapan.

Sementara itu, Rajesh yang merupakan peguam mewakilinya menegaskan, tindakan memanggil seorang peguam untuk dirakam percakapan dalam kes yang melibatkan anak guam sendiri disifatkan sebagai tidak selaras dengan prinsip perundangan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Beliau merujuk Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan perlindungan terhadap komunikasi antara peguam dan anak guam.

"Kami memahami keperluan siasatan, namun sebagai peguam, klien saya terikat dengan kewajipan menjaga kerahsiaan maklumat yang diperoleh dalam kapasiti profesionalnya.

"Sebarang percubaan untuk mendapatkan maklumat yang dilindungi undang-undang adalah tidak wajar,” katanya.

Rajesh turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Majlis Peguam Malaysia agar satu pendirian tegas diambil berhubung tindakan yang disifatkan sebagai cubaan mencabuli keistimewaan guaman.

Media sebelum ini melaporkan, polis masih belum memperoleh bukti atau keterangan yang dapat menyokong dakwaan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa serbuan dan penahanan Albert Tei di kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan bahawa satu laporan berhubung kejadian itu telah diterima di IPD Sepang, dibuat oleh seorang wanita yang juga isteri kepada ahli perniagaan terbabit.

Dalam kejadian berkenaan, isteri Albert Tei, Lee Pei Rie mendakwa pegawai SPRM bertindak kasar ketika serbuan dijalankan, termasuk mengacukan pistol ketika digari.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa operasi penahanan itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Ringkasan AI

  • Peguam Mahajoth Singh terkejut dengan pendekatan siasatan polis di IPD Sepang berhubung laporan operasi pihak berkuasa
  • Mahajoth menerima notis siasat melalui WhatsApp dan hadir ke IPD Sepang atas nasihat guaman
  • Rajesh Nagarajan menekankan tindakan memanggil peguam untuk memberi keterangan dalam kes anak guam langgar prinsip perundangan
  • Media laporkan tiada bukti pegawai SPRM bersalah seperti didakwa dalam serbuan rumah Albert Tei, namun isterinya mendakwa pegawai bertindak kasar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!