Bas merah jambu tular lagi, JPJ Melaka buka siasatan

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular berdurasi 26 saat yang memaparkan sebuah bas berwarna merah jambu (Bas.My) dipercayai mengabaikan arahan lalu lintas.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan bas berkenaan keluar dari simpang di kawasan garisan berkembar di Pekan Alor Gajah sehingga menghalang aliran trafik.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Isnin lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kepada pemilik syarikat bas terbabit.
Menurutnya, JPJ Melaka telah mengambil maklum video tular berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sebarang kesalahan yang dilakukan.
“Sekiranya pemandu bas tersebut didapati bersalah mengabaikan arahan atau isyarat lalu lintas, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79 APJ 1987.
“Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Siti Zarina menegaskan, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan akan mengambil tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang lalu lintas agar menyalurkannya kepada JPJ atau pihak berkuasa terdekat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ringkasan AI
- JPJ Melaka sedang menyiasat video tular bas merah jambu Bas.My yang mengabaikan arahan lalu lintas
- Kejadian berlangsung di Pekan Alor Gajah dan menghalang aliran trafik
- Insiden ini berlaku pada Isnin lalu
- Notis Panggilan Temu Siasat telah dikeluarkan kepada pemilik syarikat bas
- Pemandu bas boleh didenda antara RM300 hingga RM2,000 jika sabit kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

