‘Senjata’ hadapi ketidaktentuan ekonomi 2026

MENJELANG 2026, rakyat digesa memperkukuh persediaan kewangan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka berterusan.
Reformasi subsidi yang melibatkan pengurangan subsidi bahan bakar dijangka meningkatkan kos operasi harian meskipun langkah ini diimbangi melalui bantuan tunai secara bersasar kepada kumpulan tertentu.
Secara keseluruhannya, meskipun prospek ekonomi negara dijangka kekal berdaya tahan, tekanan kos hidup domestik tetap signifikan kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan struktur lain.
Isi rumah disarankan menilai semula perbelanjaan, mengurangkan hutang berisiko dan mencari peluang menjana pendapatan tambahan untuk mengekalkan kestabilan kewangan.
Pensyarah Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr J.S. Keshminder berkata, bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi, rakyat memerlukan simpanan yang utuh untuk perbelanjaan kecemasan.
“Tabung merupakan perkara utama yang perlu dibangunkan dengan komitmen tinggi daripada setiap isi rumah. Ia sepatutnya mencukupi untuk menampung perbelanjaan utama seperti sewa, bil, makanan dan pengangkutan bagi tempoh tiga hingga enam bulan.
“Simpanan ini boleh dijana melalui usaha mempelbagaikan pendapatan dan mengurangkan hutang berisiko tinggi. Langkah ini penting untuk memastikan kestabilan kewangan isi rumah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, antara faktor ekonomi yang berpotensi memberi tekanan kepada isi rumah pada 2026 adalah inflasi dan kos sara hidup yang didorong oleh kenaikan harga komoditi di pasaran global.
“Jangkaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan juga boleh menjejaskan peluang pekerjaan dan kenaikan gaji rakyat. Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, pelaburan tetap strategi yang baik asalkan portfolio dipelbagaikan merentasi saham, hartanah dan bon.
“Pempelbagaian ini penting untuk melindungi nilai pelaburan daripada risiko geopolitik dan turun naik mata wang. Setiap keputusan pelaburan perlu berlandaskan data rasmi bukan sekadar spekulasi,” jelas beliau.
Cabaran kos sara hidup
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan (Kewangan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Puncak Alam, Profesor Madya Dr Norliza Che Yahya berkata, biarpun prospek ekonomi negara dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, rakyat masih berdepan cabaran dari segi kestabilan kewangan dan kos sara hidup.
“Pertama, harga barangan asas dan perkhidmatan dijangka terus meningkat akibat inflasi global, kos tenaga serta perubahan rantaian bekalan. Walaupun inflasi keseluruhan Malaysia dijangka berada antara 1.3 hingga 2 peratus pada 2026, rakyat tetap merasai tekanan pada perbelanjaan harian.
“Selain itu, dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada 2.75 peratus dapat menyokong persekitaran kredit lebih terkawal. Namun, kadar hutang tinggi serta saiz isi rumah besar masih boleh memberi tekanan kepada aliran tunai bulanan rakyat,” katanya.
Norliza berkata, di peringkat global, ketidaktentuan seperti turun naik permintaan eksport dan perubahan dasar monetari antarabangsa boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta pasaran pekerjaan dalam negara.
“Meskipun ekonomi Malaysia dijangka berkembang sekitar 4 hingga 4.5 peratus pada 2026, dinamika global yang berubah-ubah masih berpotensi mempengaruhi prestasi sebenar ekonomi Malaysia.
“Antara risiko utama ialah kemungkinan perubahan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) sekiranya Rizab Persekutuan kembali menaikkan kadar faedah yang boleh mengukuhkan semula dolar AS dan seterusnya memberi tekanan kepada mata wang negara,” ujar beliau.
Menurutnya, situasi ekonomi yang tidak menentu pada 2026 mampu ditangani jika rakyat menitikberatkan literasi kewangan yang baik untuk membuat keputusan kewangan bijak, berbelanja secara berhemah dan mengekalkan kestabilan kewangan isi rumah.
“Penyediaan bajet yang lebih tersusun dan dinamik melalui semakan bulanan atau suku tahunan amat penting supaya perbelanjaan dapat diselaraskan mengikut perubahan harga barang dan keutamaan kekal tertumpu kepada keperluan asas isi rumah itu.
“Pengurusan hutang juga perlu diberi perhatian khususnya dengan mengurangkan liabiliti berfaedah tinggi seperti pinjaman peribadi atau kad kredit,” katanya.
Norliza berpandangan, rakyat boleh melabur dalam akaun simpanan berfaedah tetap seperti deposit tetap yang sesuai digunakan untuk dana kecemasan serta simpanan jangka pendek.
“Amanah saham seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2 berpotensi menjadi pilihan baik untuk simpanan jangka sederhana kerana prospek pulangan tahunan yang kompetitif.
“Manakala Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) atau akaun pendidikan menawarkan pulangan berfaedah serta manfaat pelepasan cukai berguna bagi keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi instrumen risiko sederhana, unit amanah menyediakan diversifikasi melalui pendedahan kepada ekuiti dan bon, sesuai untuk pelabur yang kurang berpengalaman.
“Pelaburan dalam Real Estate Investment Trusts (REITs) boleh menjadi perlindungan nilai berkesan terhadap inflasi kerana nilai sewa dan hartanah cenderung meningkat seiring keadaan pasaran. Emas atau ETF (Exchange Traded Fund) pula kekal sebagai instrumen tradisional demi melindungi nilai aset ketika inflasi tinggi atau pasaran tidak menentu.
“Saham syarikat kukuh termasuk saham patuh syariah dengan asas perniagaan yang baik juga boleh menjadi pelaburan jangka panjang walaupun lebih berisiko berbanding emas atau REITs,” jelas beliau.
Ringkasan AI
- Menjelang 2026, rakyat digesa memperkukuh persediaan kewangan karena ketidaktentuan ekonomi global
- Reformasi subsidi bakar dan bantuan tunai bersasar dijangka meningkatkan kos operasi harian
- Isi rumah disarankan mengurangkan hutang berisiko dan mencari pendapatan tambahan
- Simpanan kecemasan bagi tempoh tiga hingga enam bulan penting untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi
- Pendiversifikasian portfolio pelaburan merentasi saham, hartanah dan bon disarankan untuk melindungi nilai pelaburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
