Perkukuh ekosistem usahawan

DALAM landskap keusahawanan Malaysia yang semakin mencabar dan kompetitif, USANITA Sdn Bhd (USANITA) muncul sebagai satu nama yang bukan sahaja membina jenama tetapi mencipta sebuah ekosistem.
Ia bukan sekadar platform sebaliknya sebuah organisasi yang menghimpunkan ribuan usahawan daripada yang baharu bermula hingga yang sedang mencari hala tuju untuk bergerak maju secara kolektif.
Hari ini, USANITA berdiri sebagai komuniti keusahawanan dengan lebih 10,000 Perintis di seluruh negara, satu pencapaian yang lahir daripada kepercayaan, keterhubungan dan konsistensi.
Namun perjalanan USANITA tidak dibina dalam keadaan selesa. Ia lahir daripada keperluan mendesak ketika negara berdepan pandemik Covid-19, di saat ribuan usahawan kecil terjejas, perniagaan terhenti dan keyakinan semakin pudar.
Dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu itu, USANITA tampil mengangkat semula usahawan yang pernah tersungkur, membina kembali keyakinan yang hilang dan memastikan perniagaan mereka terus kekal relevan.
Daripada kelompok kecil sekitar 30 hingga 50 orang Perintis, USANITA kini berkembang menjadi platform yang merangkumi keusahawanan, pembelajaran dan hiburan sekali gus membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar tentang bertahan tetapi tentang membina masa depan bersama.
Berkongsi kisah dalam temu bual khas bersama Sinar Bisnes baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) USANITA Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, bagi USANITA dunia perniagaan bukan sekadar soal jenama atau pemasaran semata-mata.
“Apa yang lebih penting ialah keupayaan memastikan perniagaan terus bertahan dan kekal relevan khususnya dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah.
“Sejak penubuhannya, platform ini tidak pernah berhenti menjalankan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan secara menyeluruh,” katanya.
Menurut Adzliana, fokus utama USANITA ialah membina satu ekosistem keusahawanan yang saling menyokong antara satu sama lain.
Melalui platform yang dibangunkan, para Perintis USANITA bukan sahaja mendapat akses kepada program latihan dan bimbingan malah membina jaringan yang luas dalam komuniti usahawan.
“Hubungan ini akhirnya memberi manfaat bersama daripada peluang kolaborasi perniagaan hinggalah kepada sokongan moral yang amat penting dalam mengharungi cabaran dunia keusahawanan,” ujarnya.
Selain program dan platform yang disediakan, USANITA turut memperkukuhkan ekosistemnya melalui peranan Perintis senior yang bertindak membimbing Perintis baharu.
“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepat proses pembelajaran malah mewujudkan budaya perkongsian ilmu dan pengalaman dalam komuniti.
“Perintis yang lebih berpengalaman diberi kepercayaan untuk mengambil peranan sebagai mentor melalui sesi bimbingan dan latihan bersesuaian sekali gus membantu Perintis baharu memahami realiti dunia perniagaan dengan lebih jelas,” katanya.
Menurut Adzliana, inisiatif ini memastikan sokongan yang diterima bukan bersifat satu hala sebaliknya berkembang secara berperingkat dan berterusan dalam kalangan komuniti USANITA sendiri.
Dalam pada itu, seiring pertambahan bilangan Perintis serta kepelbagaian latarbelakang, USANITA melihat keperluan untuk mewujudkan satu platform yang lebih inklusif dan mudah diakses.
Dari situlah lahir keputusan untuk menceburi bidang hiburan melalui media sosial dengan pelancaran UTV pada Ogos tahun lalu.
Jelas beliau, dengan bilangan usahawan yang ramai adakala sukar untuk menganjurkan program secara fizikal atau berskala besar maka platform hiburan dilihat sebagai saluran paling efektif untuk menghimpunkan komuniti dalam satu ruang yang lebih santai tetapi bermakna.
Terkini, UTV terus berkembang menjadi lebih daripada sekadar platform hiburan yang merangkumi pelbagai kandungan tempatan yang menampilkan filem dan lagu.
Ia turut memperkenalkan UTV Smart, sebuah platform yang menghimpunkan elemen pembelajaran berkaitan keusahawanan sekali gus menjadi pintu masuk menghubungkan usahawan dengan audiens yang lebih besar.
“Platform ini direka khusus untuk memberi nilai tambah kepada komuniti terutamanya dalam aspek ilmu perniagaan yang praktikal dan relevan.
“Pendekatan ini selari dengan prinsip USANITA bahawa kejayaan perniagaan tidak bergantung kepada modal semata-mata tetapi juga kepada ilmu, ketahanan mental dan pelan tindakan yang jelas,” katanya.
Adzliana berkongsi, UTV mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan sekitar 20.1 juta jumlah tontonan setakat ini dan angka tersebut dijangka terus meningkat.
Melihat sambutan positif itu, USANITA merancang untuk terus mengembangkan kandungan UTV termasuk kemungkinan menerbitkan lebih banyak filem-filem baharu pada tahun ini.
Kolaborasi rentas sempadan
Sementara itu, pengenalan UTV Nusantara pula membuka ruang kolaborasi rentas sempadan khususnya dengan karyawan dan artis dari Indonesia sekali gus memperluaskan pengaruh Usanita di peringkat serantau.

Menariknya, langkah pengembangan Usanita tidak terhenti di situ.
Buktinya, USANITA baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Konsulat Malaysia di Istanbul, Turkiye bagi meneroka peluang dalam segmen fesyen sopan halal.
Ujar Adzliana, fesyen sopan halal dinilai mempunyai potensi besar kerana umat Islam kini bukan sahaja memilih pakaian menutup aurat tetapi turut mementingkan ketelusan rantaian bekalan merangkumi bahan mentah yang halal serta amalan kerja beretika dan patuh syariah.
Tambahnya, Turkiye turut dilihat sebagai destinasi strategik untuk usahawan tempatan menyesuaikan diri selain menjadi titik pertemuan antara elemen fesyen Asia dan Eropah.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada program Bridge to Brilliance yang sebelum ini dilaksanakan di Indonesia (1.0 dan 2.0), diikuti Oxford (3.0), New Zealand (4.0) dan terkini di Istanbul.
“Selepas Turkiye, USANITA ada merancang untuk meneroka destinasi antarabangsa lain sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya,” katanya.
Dalam pada itu, mengakui untung dan rugi adalah perkara lumrah dalam dunia bisnes, Usanita tidak terkecuali daripada berdepan cabaran ekonomi serta tekanan semasa.
Namun bagi organisasi tersebut, kejatuhan bukan alasan untuk berhenti sebaliknya ia dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan perancangan.
“Ada masa untuk bergerak pantas dan ada masa untuk memperlahankan langkah bagi merangka strategi seterusnya.
“Sejak 2021 hingga kini, USANITA terus bergerak dan sentiasa berada dalam fasa perancangan bagi memastikan momentum kemajuan komuniti kekal berterusan,” katanya.
Bagi Adzliana, antara kekuatan utama yang membantu USANITA selama ini adalah sokongan kukuh daripada pelbagai rakan strategik, termasuk agensi kerajaan, badan korporat dan banyak lagi pihak lain.
Menurutnya, kerjasama ini memainkan peranan penting dalam memperkembangkan platform USANITA serta memperluaskan impaknya kepada komuniti usahawan.
Ditanya tentang posisi USANITA lima tahun akan datang, Adzliana berkata, selain perkembangan di peringkat nasional USANITA turut menyasarkan pertumbuhan di peringkat serantau.
“Melalui gabungan keusahawanan dan hiburan, platform ini diharap dapat menjadi akses utama kepada pelbagai industri, bukan hanya untuk USANITA tetapi kepada semua pihak yang terlibat.
“Pendekatan ini berlandaskan prinsip saling memerlukan dan saling menguatkan antara satu sama lain,” katanya.
Pesan Adzliana, untuk menempuh cabaran sekali gus berjaya dalam dunia perniagaan, tidak kira usahawan lelaki mahupun wanita harus ada persepsi dan strategi yang betul.
“Cara berfikir adalah kunci utama dalam menceburi bidang perniagaan selain fokus, keberanian untuk bermula dari kecil serta usaha tanpa henti dan semangat tinggi bagi mengembangkan perniagaan atau syarikat,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Adzliana mengakui di sebalik kejayaan dicapai, cabaran dihadapinya terutama pada peringkat awal USANITA berkisar kepada berurusan dengan manusia namun pengalaman menjadikan proses itu lebih terkawal dan matang.
“Hari ini, prinsip yang dipegang USANITA masih kekal iaitu wang bukan segala-galanya. Perniagaan memerlukan ketahanan mental, keberanian, strategi dan ilmu yang betul. Tanpa semua elemen ini, kelangsungan perniagaan sukar dicapai.
“Dari sebuah platform kecil yang lahir ketika krisis pandemik, USANITA kini berdiri sebagai satu ekosistem menyeluruh yang menggabungkan keusahawanan, hiburan dan pembelajaran membuktikan bahawa daripada kejatuhan, peluang kebangkitan yang lebih besar sentiasa terbuka,” katanya.
Ringkasan AI
- USANITA Sdn Bhd adalah organisasi yang mengumpulkan ribuan usahawan di Malaysia untuk maju secara kolektif
- Bermula sebagai platform penyelesaian semasa pandemik Covid-19 untuk usahawan kecil, kini memiliki lebih 10,000 Perintis
- Fokus utama pembinaan ekosistem keusahawanan yang saling menyokong melalui program latihan, bimbingan, dan pembinaan jaringan
- Melancarkan UTV sebagai platform hiburan dan pembelajaran untuk menghubungkan usahawan dengan audiens lebih luas
- Menargetkan pertumbuhan di peringkat serantau selain memperluas impak kepada komuniti usahawan melalui kerjasama strategik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

