Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN. - Foto hiasan
Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN. - Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu dalam persekitaran pandangan berbeza dalam kalangan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kadar faedah.

Pada 8.01 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9250/9360 berbanding dolar AS daripada 3.9295/9360 semasa penutupan pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Gabenor Fed AS Stephen Miran yang konsisten dalam pandangannya, menunjukkan bahawa kadar dasar semasa adalah bersifat mengekang dan harus diturunkan untuk menyokong ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata, presiden Federal Reserve Bank of Richmond, Tom Barkin mencadangkan bahawa kadar faedah tahun lepas adalah pemotongan insurans (langkah perlindungan) untuk mencegah kelemahan selanjutnya dalam pasaran buruh.

Pada 28 Januari, Fed AS memutuskan untuk menangguhkan penurunan kadar faedah pada mesyuarat pertamanya pada 2026, mengekalkan kadar dana persekutuan (FFR) stabil dalam julat 3.50-3.75 peratus.

Mohd Afzanizam semalam berkata, ringgit mengekalkan trend menaiknya berbanding dolar AS pada penutupan, dan ia nampaknya akan meneruskan trajektori menaiknya dengan sokongan segera pada RM3.8722.

"Mungkin hari ini, pergerakan harga semasa dolar AS dan ringgit atau AS$/MYR boleh berlegar antara 3.92 hingga 3.94,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5189/5262 daripada 2.5210/5253 ketika ditutup pada Selasa, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.6370/6500 daripada 4.6341/6417 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.3749/3900 daripada 5.3704/3793.

Artikel Berkaitan:

Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0898/0990 daripada 3.0919/0973, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3942/4376 daripada 12.4584/4845 dan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 234.2/235.0 daripada 234.5/235.0 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.73 daripada 6.66/6.68 pada Selasa.- Bernama 

Ringkasan AI

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat pada Rabu
  • Mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9250/9360 berbanding dolar AS
  • Gabenor Fed AS menyatakan kadar dasar semasa bersifat mengekang dan harus diturunkan
  • Ringgit mengekalkan trend menaik berbanding dolar AS dengan sokongan segera pada RM3.8722
  • Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN tetapi rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!