Tapisan hiburan digital perlu diperketat

MALAYSIA kini berdepan cabaran besar dalam mengekalkan kawalan terhadap kandungan filem dan drama luar negara yang ditayangkan menerusi platform penstriman digital.
Lebih-lebih lagi apabila ia mengandungi elemen yang menormalisasikan homoseksual dan songsang bertentangan dengan nilai di negara ini.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada negara masih mempunyai keupayaan sebenar untuk menapis kandungan hiburan asing yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan remaja.
Walaupun Malaysia mempunyai Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebagai badan bertanggungjawab mengawal kandungan hiburan, realitinya kuasa tapisan itu semakin terhad dalam era penstriman digital. Apabila hiburan kini berada di hujung jari, kawalan berbentuk fizikal atau berasaskan lokasi menjadi hampir mustahil. Dalam jangka panjang pendedahan berterusan kepada kandungan sedemikian berpotensi mempengaruhi pemikiran, nilai dan pembentukan jati diri generasi muda.
Bagi menangani isu ini pendekatan baharu yang lebih menyeluruh perlu dipertimbangkan.
Antara langkah yang perlu diambil adalah kerangka perundangan sedia ada wajar disemak semula bagi memastikan platform penstriman digital tertakluk kepada bentuk kawal selia yang lebih jelas dan tegas, selari dengan konteks tempatan.
Kerjasama antara LPF, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian berkaitan perlu diperkukuhkan agar tidak berlaku pertindihan kuasa atau kekosongan penguatkuasaan.
Selain itu, kerajaan boleh mempertimbangkan kewajipan kepada penyedia platform untuk menawarkan tetapan penapisan kandungan yang lebih ketat dan telus kepada pengguna di Malaysia, khususnya bagi akaun kanak-kanak dan keluarga.
Dalam masa sama, literasi digital dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat perlu diperkasa agar kawalan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab bersama.
Tanpa langkah proaktif dan dasar yang jelas, Malaysia berisiko terus kehilangan kuasa dalam mengawal pengaruh budaya luar, sekali gus membiarkan arus normalisasi nilai yang bertentangan dengan acuan masyarakat tempatan bergerak tanpa sempadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
