Yayasan Terengganu jamin pelajar AYTK dapat bersekolah, tiada kes keciciran

KUALA TERENGGANU – Semua pelajar Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) akan terus mendapat akses pendidikan dan tidak tercicir daripada sistem persekolahan susulan keputusan menaik taraf penempatan asrama berkenaan kepada Sekolah Menengah Imtiaz Swasta.
Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihaknya telah membincangkan perkara itu bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan kebajikan dan penempatan pelajar terlibat ditangani secara teratur.
Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai sebarang isu berkaitan penukaran sekolah atau penukaran tempat asrama boleh terus berurusan dengan PPD atau Pejabat Yayasan Terengganu untuk mendapatkan penjelasan dan penyelesaian.
"Kita beri keutamaan kepada mereka supaya tidak timbul masalah persekolahan pada tahun hadapan.
"Sekiranya PPD sudah dimaklumkan, ibu bapa boleh berbincang secara terus untuk penempatan anak-anak mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2025 (kali ke-45) dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2024 di sini pada Isnin.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama ibu bapa dan menerima pelbagai pertanyaan berkaitan perkara itu.
Ahmad Farhan menjelaskan, keputusan tersebut bukan dibuat secara mengejut kerana kenyataan media telah dikeluarkan lebih awal bagi memaklumkan hala tuju dan langkah yang diambil YT.
"Bagi pelajar yang masih memerlukan penempatan asrama, kita akui kekangan tempat mungkin berlaku, namun usaha berterusan dilakukan bagi menempatkan mereka di asrama yang bersesuaian," ujar beliau.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan keputusan itu adalah sehingga Jun 2026 dan tiada arahan supaya pelajar keluar secara serta-merta.
"Sekiranya menjelang Jun masih terdapat isu atau keperluan mendesak, perkara itu boleh dibincangkan semula berdasarkan masalah yang timbul.
"Keputusan ini bukan bertujuan menekan atau menindas mana-mana pihak," katanya.
Ahmad Farhan turut menegaskan AYTK diwujudkan atas prinsip sukarela bagi membantu golongan kurang mampu dan pihaknya komited memastikan tiada pelajar tercicir dalam pendidikan.
"Kita telah mengambil semua data pelajar terlibat dan akan berusaha sedaya upaya akan dilakukan untuk menempatkan mereka di lokasi yang sepatutnya. Insya-ALLAH, tidak ada pelajar yang tercicir," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya berhubung secara terus dengan pihak YT atau PPD sekiranya mempunyai sebarang masalah dan bukannya menularkan isu itu melalui media sosial yang boleh menimbulkan salah faham dan persepsi negatif.
"Perkara ini sebenarnya boleh dibincangkan dengan baik dan kita sentiasa terbuka untuk membantu demi kebajikan pelajar,” katanya.
Sebelum ini, Yayasan Terengganu dalam kenyataan berkata, asrama tersebut tidak ditutup atau dihapuskan sebaliknya memberi laluan kepada pembinaan sebuah Sekolah Imtiaz baharu untuk menampung permintaan kemasukan yang mencecah lebih 5,000 pelajar setiap tahun.
Jelas Ahmad Farhan, YT sedang memperluaskan peluang pendidikan berteraskan al-Quran di negeri ini yang semakin mendapat sambutan saban tahun.
Ringkasan AI
- Pelajar Asrama Yayasan Terengganu Kemaman terus mendapat akses pendidikan susulan peningkatan ke Sekolah Menengah Imtiaz Swasta
- Ibu bapa boleh berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Yayasan Terengganu untuk isu berkaitan penukaran sekolah atau asrama
- Yayasan Terengganu mengakui kekangan tempat asrama mungkin berlaku tetapi usaha menempatkan pelajar di asrama yang sesuai berterusan
- Tiada arahan keluar serta-merta untuk pelajar, keputusan pelaksanaan sehingga Jun 2026
- Yayasan Terengganu bertekad tidak ada pelajar yang tercicir dalam pendidikan, menasihati ibu bapa untuk berhubung secara langsung dan bukan melalui media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
