Mindef akan terus utamakan kesiapsiagaan ATM - Khaled Nordin

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan terus mengutamakan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ia termasuk memodenkan aset-aset pertahanan termasuk untuk Rejimen Gerak Khas.
"Kementerian Pertahanan akan terus memberi penekanan soal kesiagaan angkatan, seterusnya memodenkan aset-aset pertahanan negara selari keperluan ATM termasuk untuk Rejimen Gerak Khas," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu Sultan Ibrahim sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 bertitah supaya kementerian itu membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.
Sultan Ibrahim sebagai pemerintah tertinggi ATM turut mengingatkan kementerian tersebut supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.
Mohamed Khaled dalam hantaran sama memaklumkan, perbarisan yang berlangsung di Kem Iskandar, Mersing, melibatkan 5 Detasmen yang terdiri daripada 18 pegawai dan 173 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen 11 Gerak Khas, Rejimen 21 Komando, Rejimen 22 Komando, Gabungan dan Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK).
"Sejak ditubuhkan pada tahun 1965, Gerak Khas telah melalui transformasi yang luar biasa.
"Bermula sebagai sebuah unit yang kecil, kini ia merupakan sebuah pasukan khas moden yang beroperasi di semua domain.
"Buat seluruh warga dan veteran Rejimen Gerak Khas, saya ucapkan Selamat Hari Ulang Tahun ke-60," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
