María Corina Machado 'Wanita Besi Venezuela'

OPERASI menyelamat untuk membawa keluar pemimpin pembangkang, Maria Corina Machado dari negara Amerika Selatan itu sememangnya mencabar dan penuh risiko.
Operation Golden Dynamite itu merupakan satu perjalanan berbahaya, namun Machado yang diberi julukan 'Wanita Besi Venezuela' langsung tidak merungut ketika beliau berdepan cuaca sejuk dan laut bergelora dengan gelombang setinggi tiga meter yang memukul bot dinaikinya.
Veteran Pasukan Khas Amerika Syarikat (AS) dan pengasas Grey Bull Rescue Foundation, Bryan Stern berkongsi pengalaman mendebarkan ketika 'melarikan' Machado dari Caracas.
"Beliau seorang wanita yang tabah. Keadaan ketika itu amat gelap gelita dan kami menggunakan lampu suluh untuk berkomunikasi. Kami perlu berhati-hati kerana satu kesilapan boleh membawa akibat yang besar," ujarnya.
Stern mendedahkan dia juga telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan penyamaran wajah Machado tidak terbongkar termasuk menyekat sebarang cubaan menjejaki telefon bimbitnya.
"Kami perlu mengubah profil digital miliknya kerana beliau merupakan seorang individu yang dikenali ramai. Ancaman biometrik sangat nyata," katanya.
Menurutnya, operasi sarat debaran seperti dalam babak filem aksi Hollywood itu dibiayai oleh penderma dan bukannya pemerintah AS yang ketika ini menyasarkan Venezuela.
"Kami ada bekerjasama perkhidmatan risikan serta diplomatik beberapa negara. Kami turut memaklumkan kepada Washington secara tidak rasmi," jelasnya.
Machado berjaya mengatasi pelbagai rintangan dan akhirnya selamat tiba di Oslo pada tengah malam Rabu untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan 2025 yang dianugerahkan kepadanya.

Wanita itu terpaksa 'menghilangkan diri' sejak Januari lalu dan berdepan larangan perjalanan setelah mempertikaikan keputusan pilihan raya yang berpihak kepada Presiden Nicolas Maduro.
Penentang utama Maduro
Machado, 58, menjadi wanita ke-20 daripada 143 penerima Hadiah Nobel yang diberi anugerah tertinggi tersebut sejak ia mula diperkenalkan pada 1901.
Kesungguhannya mengangkat agenda keamanan sambil memperkukuh aspirasi demokrasi telah melayakannya untuk menerima pengiktirafan itu, sekali gus mengetepikan Presiden AS, Donald Trump yang disebut bakal penerima anugerah itu atas peranannya sebagai 'pendamai global' sejak beberapa bulan lalu.
Maria Corina Machado Parisca dilahirkan pada 7 Oktober 1967 di Caracas dan memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan perindustrian serta Ijazah Sarjana dalam bidang kewangan.
Pemimpin Parti Vente Venezuela itu berkempen untuk demokrasi yang telus, menyokong pembaharuan ekonomi liberal termasuk penswastaan perusahaan milik negara seperti syarikat minyak, PDVSA.
Beliau juga menyokong penubuhan program kebajikan untuk membantu golongan miskin di Caracas.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu menceburi bidang politik pada 2002 sebagai pengasas bersama persatuan awam sukarelawan, Sumate yang berusaha menyatukan rakyat di tengah-tengah polarisasi di bawah pentadbiran Maduro.
Beliau kekal menjadi penentang utama pemimpin sosialis itu sejak 2013.
Pada 2023, Machado memenangi pemilihan untuk bertanding sebagai calon presiden, sekali gus meletakkannya sebagai pencabar utama Maduro pada 2024.
Tetapi, hasratnya tidak kesampaian apabila dilarang memegang jawatan awam malah beliau berdepan pelbagai tuduhan termasuk menyokong sekatan AS, terlibat rasuah dan menghasut keganasan.
Edmundo Gonzalez Urrutia kemudiannya menggantikan Machado sebagai calon daripada blok pembangkang.
Maduro berjaya mengekalkan jawatannya menerusi keputusan diumumkan pada Julai 2024, namun kemenangannya dipertikaikan banyak pihak termasuk AS kerana didakwa tidak mencerminkan kehendak rakyat.
Meskipun terpaksa bersembunyi lebih 11 bulan, Machado tetap dianggap sebagai salah satu suara paling dihormati di tanah airnya malah ketokohannya terus menjadi simbol harapan untuk rakyat Venezuela yang mendambakan pembaharuan dalam landskap politik dan berharap bebas daripada cengkaman Maduro. - Agensi
Ringkasan AI
- Operasi menyelamat Maria Corina Machado dari Amerika Selatan penuh risiko dan dibiayai oleh penderma bukan pemerintah AS
- Machado dikenali sebagai 'Wanita Besi Venezuela' dan tidak mengeluh meskipun berdepan cuaca sejuk dan laut bergelora
- Bryan Stern, veteran Pasukan Khas AS berkongsi pengalaman 'melarikan' Machado, termasuk langkah penyamaran dan menyekat telefon bimbit Machado
- Penentang utama Presiden Nicolas Maduro, akhirnya selamat tiba di Oslo untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan 2025
- Maria Corina Machado berkecimpung dalam politik Venezuela, memperjuangkan demokrasi dan pembaharuan ekonomi, serta mencalonkan diri sebagai presiden sebelum menghadapi halangan politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

