Gendang perang AS-Venezuela berdentum?

CARACAS - Armada Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kini ditempatkan di sekitar Caribbean Selatan yang dikhuatiri sebagai persediaan untuk berperang dengan Venezuela.
Pakar turut mempersoalkan tindakan pengerahan kekuatan tentera sedemikian yang didakwa pentadbiran Presiden Donald Trump kononnya untuk memerangi kartel dadah atau sebenarnya mempunyai tujuan lain.
Sebanyak lapan kapal perang dan kapal selam berkuasa nuklear bersama lebih 4,500 anggota tentera dan unit marin dikerahkan di bawah operasi tersebut.
Trump menegaskan usaha membanteras kartel dadah merupakan matlamat utama Rumah Putih walaupun ia mungkin melanggar kedaulatan Caracas.

Timbalan Ketua Turus Rumah Putih, Stephen Miller armada tersebut akan menumpaskan organisasi jenayah dan pengganas asing di rantau berkenaan.
Tetapi, masih tidak jelas bagaimana kehadiran tentera AS dapat mengekang sindiket dadah yang telah bertapak sekian lama.
Difahamkan, sebahagian besar urus niaga kartel dadah melalui jalan laut ke Washington adalah dari Pasifik dan bukannya Atlantik di mana armada itu ditempatkan.
Selain itu, kebanyakan dadah yang tiba di AS melalui Caribbean dihantar menerusi penerbangan rahsia.
Pelbagai spekulasi yang timbul menyebabkan Caracas percaya Presiden haluan kiri, Nicolas Maduro ialah sasaran sebenar Trump.
Diplomasi kapal perang
Pada awal Ogos, Washington menggandakan ganjaran mereka berjumlah AS$50 juta (RM211 juta) untuk pemberian maklumat yang membawa kepada penahanan Maduro berhubung dakwaan penglibatannya dengan sindiket penyeludupan dadah dan geng jenayah.
Menteri Pertahanan Venezuela, Jeneral Vladimir Padrino mendedahkan Caracas sedia maklum siapa dalang di sebalik ancaman ketenteraan tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran dengan jelas mengenai hal itu.
“Kami bukan penyeludup dadah. Kami orang yang mulia dan gigih bekerja dengan cara yang halal,” katanya.
Sementara itu, pakar di Tulane University, David Smilde berkata, tindakan AS itu jelas untuk memberi tekanan maksimum kepada pentadbiran Maduro.
“Ia merupakan diplomasi kapal perang. Ia adalah taktik lama,” menurutnya.
Walaupun tentera AS kini ‘mengepung’ Caribbean dan Atlantik, Lautan Pasifik sebenarnya laluan maritim terbesar untuk kegiatan penyeludupan kokain.
Data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah berdasarkan Laporan Kokain Global 2023 menunjukkan 74 peratus jenis narkotik itu diseludup melalui Pasifik ke Amerika Selatan.
Penyeludup menggunakan pesawat untuk penghantaran bekalan kokain ke utara dari Caribbean dan Venezuela disebut sebagai hab terbesar manakala Mexico sebagai sumber utama fentanyl yang diseludup masuk ke AS.

Sehingga kini, AS menganggap kerajaan pimpinan Maduro sebagai tidak sah selepas kemenangannya pada pilihan raya tidak diiktiraf.
“Rejim Maduro ialah kartel dadah dan dia ialah ketua sindiket itu yang diburu selama ini,” menurut tuduhan melulu Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt.
Washington mendakwa jumlah pasukan yang dihantar masih jauh lebih sedikit berbanding ketika operasi di Amerika Selatan lebih tiga dekad lalu.
Pada 1989, AS mengerahkan hampir 28,000 anggota untuk menyerang Panama dan memberkas pemimpin diktator, Manuel Noriega.
Christopher Hernandez-Roy di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington percaya objektif sebenar mungkin untuk menyerang Venezuela.
“Agak tidak logik, armada tersebut hanya untuk memerangi dadah. Kekuatan tenteranya agak kecil untuk pencerobohan ke atas Caracas. Tetapi, kehadirannya cukup penting untuk melaksanakan sesuatu misi,” jelasnya. - Agensi
Info:
>Kapal Peronda Pantai dan Tentera Laut AS kerap beroperasi di Caribbean Selatan, namun pengerahan armada terbaharu itu disifatkan luar biasa.
>Ia terdiri daripada kapal perang USS San Antonio, USS Iwo Jima dan USS Fort Lauderdale. Sebahagian daripadanya boleh membawa aset udara seperti helikopter dan melancarkan misil cruise Tomahawk.
>Tentera AS juga dikatakan telah menhantar pesawat pengintip P-8 ke rantau itu untuk mengumpulkan maklumat risikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

