Penantian 21 tahun berakhir, balu pejuang Ladang Semenyih terima kunci rumah

SEMENYIH - Air mata kegembiraan mengiringi langkah Munihchy Muniandy, 70, apabila dirinya menerima kunci rumah baharu di Taman Tenera Semenyih di sini pada Sabtu.
Munihchy menunggu lebih dua dekad sejak suaminya, Mathuraveeran, meninggal dunia ketika memperjuangkan nasib pekerja Ladang Semenyih.
Mendiang suami Munihchy merupakan Setiausaha Kesatuan dan pengerusi kuil yang juga antara tokoh paling aktif memperjuangkan hak pekerja ladang dan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1 April 2004 iaitu pada hari sama lebih 40 pekerja ladang menerima notis penamatan perkhidmatan.
Tragedi itu menjadi titik hitam dalam perjuangan pekerja Ladang Semenyih apabila kehilangan seorang pemimpin yang lantang bersuara, sekali gus meninggalkan Munihchy meneruskan kehidupan dalam ketidakpastian selama bertahun-tahun.

Selepas 21 tahun penantian dan lapan tahun selepas perjanjian penyelesaian dimeterai, Munihchy akhirnya menerima kunci rumah yang akan didiami bersama anak bongsunya, sekali gus merealisasikan impian arwah suaminya yang tidak sempat menyaksikan hasil perjuangan tersebut.
“Saya tidak pernah menyangka akan sampai ke hari ini. Rumah ini adalah hasil pengorbanan arwah suami dan rakan-rakannya,” ujar ibu kepada enam anak itu ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Taman Tenera Semenyih disempurnakan Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan pada Sabtu.
Hadir sama, Pengurus Sime Darby Property, Azuan Omar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Ladang Semenyih, S Joseph.

Turut berkongsi kegembiraan ialah M Poongkodi Munisamy, 51, seorang ibu tunggal dan generasi kedua yang terlibat dalam tuntutan berkenaan.
Dia meneruskan perjuangan yang dimulakan oleh kedua ibu bapanya dan kini bakal menetap di rumah baharu itu bersama anaknya yang berusia 14 tahun.
Bagi Poongkodi, penerimaan rumah tersebut bukan sekadar memiliki tempat berteduh, sebaliknya simbol kesinambungan perjuangan keluarga yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya.
Sementara itu, Siti Fatimah Abdul Rahman, 30, satu-satunya penerima berbangsa Melayu turut menzahirkan rasa lega apabila akhirnya memiliki rumah sendiri hasil perjuangan datuk, nenek dan ibunya yang pernah berkhidmat di ladang berkenaan.
"Kediaman ini tersebut amat bermakna buat keluarga kami memandangkan harga rumah ketika ini semakin tinggi dan sukar dimiliki, terutama oleh golongan berpendapatan rendah," ujar ibu dua anak itu.

Sementara itu, S Arutchelvan ketika ditemui Sinar Harian merakamkan penghargaan kepada Pusat Pembangunan Komuniti, Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dan PSM atas sokongan serta bimbingan berterusan sepanjang perjuangan tersebut.
Secara keseluruhan, seramai 34 keluarga bekas pekerja Ladang Semenyih menerima kunci rumah teres kos rendah dua tingkat berkeluasan 990 kaki persegi dalam majlis berkenaan, sekali gus menandakan berakhirnya satu episod panjang perjuangan yang sarat dengan pengorbanan, ketabahan dan harapan.
Majlis itu turut menjadi satu penghormatan kepada mereka yang telah pergi, termasuk Mathuraveeran selain bukti bahawa perjuangan mempertahankan hak akhirnya membuahkan hasil.
Ringkasan AI
- Munihchy menerima kunci rumah baharu di Taman Tenera Semenyih selepas menunggu lebih dua dekad
- Mendiang suami Munihchy adalah pejuang hak pekerja ladang, meninggal pada hari yang sama 40 pekerja ladang menerima notis penamatan
- Selepas 21 tahun penantian, Munihchy akhirnya merealisasikan impian arwah suaminya dengan menerima kunci rumah baharu
- Poongkodi, generasi kedua pejuang hak ladang, menerima rumah sebagai simbol kesinambungan perjuangan keluarga
- Secara keseluruhan, 34 keluarga bekas pekerja Ladang Semenyih menerima kunci rumah dalam majlis yang juga menghormati pejuang hak yang telah meninggal dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

