UEC: Penting akui bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi - Saifuddin

KULIM - Bahasa Melayu perlu diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara serta diwajibkan penguasaannya oleh setiap warganegara Malaysia, meskipun mereka telah menguasai bahasa kedua atau ketiga.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah peri penting setiap warganegara mengakui, mengiktiraf dan menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajib dikuasai oleh segenap lapisan rakyat, tanpa mengira kaum dan geografi.
“Kalau kamu namanya rakyat Malaysia, biar bersetuju dulu pendirian yang pertama. Apa dia? Bahawa bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu yang wajib dikuasai oleh semua rakyat Malaysia.
“Hatta kalau rakyat Malaysia menghantar anak ke sekolah antarabangsa pun bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris, tetapi menguasai bahasa Melayu itu adalah prasyarat penting. Itu prinsip yang pertama, semua kena setuju,” katanya selepas peluncuran program Kembali Ke Sekolah 2026 di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Saifuddin turut menegaskan bahawa setelah penguasaan bahasa Melayu itu diakui dan dihayati, maka tiada masalah untuk menguasai bahasa lain.
“Kerajaan kata kita boleh menerimanya. Nak kuasai Bahasa Arab, nak kuasai bahasa Tamil, nak kuasai bahasa Cina, nak kuasai bahasa Inggeris, dialu-alukan, tidak ada masalah… tetapi prinsip yang pertama, biar kita setuju dulu.
“Yang ketiga, yang kita tidak mahu adalah apabila satu kaum menjadi ‘champion’ memperjuangkan hanya bahasa kaumnya sahaja… yang itu tidak sesuai dalam konteks negara kita. Itu sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kepentingan penguasaan bahasa tertentu bagi sesuatu kaum sebagai alat komunikasi yang relevan.
“Pentingkah bahasa satu kaum itu dipelajari dan dikuasai dengan baik? Penting. Tetapi yang kita hendak elakkan adalah bukan itu satu-satunya yang wajar diperjuangkan atas identiti kaum, yang itu kita tidak mahu. Jadi, tiga prinsip yang sangat jelas,” jelas beliau.
Ringkasan AI
- Bahasa Melayu perlu diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara dan wajib dikuasai oleh setiap warganegara Malaysia
- Setiap warganegara perlu mengakui dan menghayati Bahasa Melayu tanpa mengira kaum dan geografi
- Menguasai Bahasa Melayu adalah prasyarat penting walaupun anak-anak dihantar ke sekolah antarabangsa
- Setelah penguasaan Bahasa Melayu, tiada masalah untuk menguasai bahasa lain
- Penting untuk mengelakkan perjuangan bahasa atas identiti kaum semata-mata
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

