Kajian genetik Covid-19 dalam sistem pembetungan

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Delft (TU Delft), Belanda untuk menjalankan kajian mengenai risiko virus Covid-19 dalam sistem pembetungan.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya peka dengan perkembangan saintifik terhadap penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kajian terperinci akan dilakukan untuk memastikan sama ada bahan genetik virus Covid-19 boleh hidup dan membiak dalam sistem pembetungan awam.

Katanya, kajian berkenaan akan dilaksanakan kementerian menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

"Kajian ini juga untuk memastikan sama ada sampel kumbahan dalam sistem pembetungan boleh dijadikan indikator adanya pesakit Covid-19 di sesebuah kawasan.

"Kerjasama dengan UTM dan TU Delft ini dijangka dimulakan minggu depan untuk menentukan tahap risiko kesihatan bukan sahaja kepada warga kerja dalam industri pembetungan dan bekalan air malah keseluruhan yang menggunakan sumber itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, kajian itu perlu dilakukan segera kerana terdapat laporan saintifik terkini oleh Institut Nasional Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RVIM) di Belanda yang menunjukkan bahan genetik virus koronavirus yang menyebabkan Covid-19 telah ditemui dalam sistem kumbahan di Belanda.

Jelasnya, situasi tersebut berlaku apabila najis pesakit yang dijangkiti Covid-19 disalurkan ke dalam sistem pembetungan awam.

Artikel Berkaitan:

"Sistem pembetungan merupakan perkhidmatan penting (essential services) yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Selain itu, pengecaman genetik juga boleh menjadi petunjuk dan dibangunkan sebagai bioindikator mengenai wujudn pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sesebuah kawasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian sistem pembetungan adalah perkhidmatan penting untuk melestarikan alam sekitar dan kesihatan awam.

Tambah beliau, orang ramai juga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kualiti pembekalan air minum.

kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan proses penurasan dan pembasmian kuman atau virus yang dijalankan di loji rawatan air memadai untuk membunuh virus Covid-19.

"SPAN adalah badan kawal selia sektor air negara sejak 2006 dan IWK, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah pemegang konsesi perkhidmatan pembetungan di Malaysia sejak 1993," katanya.