Payung terjun tersangkut ekor pesawat, penerjun tergantung di udara

MELBOURNE - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada bahagian ekor pesawat menyebabkan dia tergantung di udara pada ketinggian 4,500 meter dalam kejadian di Queensland, Australia.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendedahkan rakaman dramatik kejadian yang berlaku pada 20 September lalu.
Menurut laporan siasatan, pesawat tersebut telah mencapai ketinggian yang dirancang bagi pelaksanaan terjunan formasi melibatkan 16 penerjun.
Seorang lagi penerjun berada di pintu pesawat yang terbuka untuk merakam video ketika yang lain melakukan terjunan.
Ketika salah seorang penerjun, Adrian Ferguson keluar dari pesawat, tali pengaktif payung terjun simpanannya tersangkut pada kepak sayap pesawat.
Payung terjun itu kemudian terbuka secara tiba-tiba dan menarik Ferguson ke belakang dengan kuat.
Dalam kejadian itu, Ferguson terlanggar penerjun yang bertugas merakam video sehingga individu berkenaan terjatuh ke dalam keadaan jatuh bebas.
Kedua-dua kaki Ferguson turut terkena penstabil mendatar pada ekor pesawat sebelum payung terjun tersebut berpintal pada bahagian itu, menyebabkan dia tergantung di udara.
Ferguson bertindak pantas menggunakan pisau untuk memotong beberapa tali payung terjun sebelum berjaya melepaskan diri dan membuka payung terjun utama, sekali gus mendarat dengan selamat meskipun mengalami kecederaan ringan di kaki.
Sementara itu, juruterbang pesawat bersama dua penerjun lain terpaksa mengawal pesawat dengan sebahagian payung terjun masih tersangkut pada ekor sebelum membuat panggilan kecemasan.
Bagaimanapun, pihak kawalan trafik udara memutuskan pesawat masih selamat untuk mendarat dan ia berjaya mendarat di Tully tanpa sebarang insiden, manakala semua penumpang lain dilaporkan tidak cedera.
Ketua Pesuruhjaya ATSB, Angus Mitchell berkata, walaupun tidak diwajibkan untuk membawa pisau, namun ia boleh menjadi penyelamat nyawa sekiranya berlaku pembukaan payung terjun simpanan secara tidak sengaja.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki tergantung di udara pada ketinggian 4,500 meter apabila payung terjunnya tersangkut pada ekor pesawat di Queensland, Australia
- Penerjun tersebut, Adrian Ferguson, berjaya memotong beberapa tali payung terjun menggunakan pisau dan membuka payung terjun utama untuk mendarat dengan selamat
- Seorang penerjun yang merakam video terjatuh dalam keadaan jatuh bebas akibat terlanggar oleh Ferguson semasa insiden
- Pesawat dengan sebahagian payung terjun masih tersangkut terpaksa membuat panggilan kecemasan tetapi berjaya mendarat di Tully tanpa insiden
- Ketua Pesuruhjaya ATSB menekankan pentingnya membawa pisau sebagai langkah keselamatan untuk membantu dalam situasi pembukaan payung terjun secara tidak sengaja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

