Anak mangsa dikelar suami tuntut keadilan

ALOR SETAR – “Saya nak hukuman yang setimpal. Kalau setakat penjara beberapa puluh tahun, tidak sebanding dengan apa yang dia buat”.
Itu luahan Ezlyn Ilyana Hardiha Shayrin Yezral, 26, anak sulung kepada wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di Jalan Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Dalam kesedihan, Ezlyn mendedahkan betapa ibunya, Wan Khairul Safinah Ishak, 44, sebelum ini pernah melalui detik yang tidak gembira pada perkahwinan keduanya sebelum ini.
"Selepas kahwin baharu ini (perkahwinan ketiga), awal-awal semua baik sebab suami berkerja.
"Cuma dalam masa beberapa bulan selepas suaminya tidak bekerja, bila tiada duit, pergaduhan mula terjadi,” katanya selepas ditemui di Tanah Perkuburan Kariah Suka Menanti di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kali terakhir dia meghubungi ibunya untuk bertanya khabar adalah pada Isnin lalu.
"Biasanya kalau hantar WhatsApp, arwah mama suka hantar nota suara (voice note) dan kami biasanya bercakap biasa saja dan kali terakhir terima mesej dia Isnin lalu, " ujarnya sedih.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tragedi menyayat hati itu berlaku apabila Wan Khairul Safinah ditemui mati dengan kesan kelar pada leher selepas mayatnya dipercayai disimpan di kediaman mereka selama empat hari.
Jenazah Allahyarham dituntut keluarga kira-kira jam 12.15 tengah hari selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Suka Menanti, di sini selepas solat Asar.
Mangsa meninggalkan lima anak iaitu Ezlyn Ilyana, Mohamad Daniel,25; Ezryn Fydiana Balqis, 23; Rikhwan Fariez Dharwish, 16; dan Ridhwan Aizs Daim, 15.
Sementara itu, suami mangsa yang tidak bekerja telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Ezlyn Ilyana mahu hukuman setimpal untuk pembunuh ibunya di Pulau Pinang
- Ibunya, Wan Khairul Safinah Ishak sebelum ini mengalami perkahwinan yang tidak bahagia
- Perkahwinan ketiga ibunya bermasalah apabila suami kehilangan pekerjaan
- Jenazah Wan Khairul Safinah ditemukan dengan kesan kelar dan disimpan selama empat hari sebelum ditemui
- Mangsa meninggalkan lima anak, sementara suaminya telah direman untuk membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

