Ribuan berhimpun di Melaka tuntut keadilan buat Zara Qairina

MELAKA - Ribuan warga Melaka daripada pelbagai kaum berkumpul di Jalan Hang Tuah di sini malam Sabtu bagi menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang kematiannya masih menjadi misteri.
Himpunan aman yang bermula seawal jam 8 malam itu dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas sebelum disusuli ucapan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis masyarakat, pengamal undang-undang dan berakhir kira-kira jam 11 malam.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka, Mansor Bai berkata, rakyat menuntut keberanian pemimpin dalam menangani isu berkenaan tanpa melindungi mana-mana pihak.
"Kalau pemimpin tidak mampu tangani isu ini, lebih baik letak jawatan kerana rakyat sudah muak dengan kelewatan tindakan.

"Kematian berlaku di tempat yang sepatutnya selamat iaitu sekolah agama, sebab itu kita desak siasatan telus dan rakyat bersama ibu Zara dalam penderitaan ini," katanya.
Sementara itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula berkata, prinsip undang-undang negara tidak boleh dipandang remeh.
Ujarnya, walau siapa pun yang terlibat termasuk golongan kenamaan, individu terbabit perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
"Negara kita ada undang-undang, tidak kira anak pembesar, orang kaya atau kenamaan, yang salah tetap salah.
"Kita minta semua muat naik status 'Justice For Zara' di platform masing-masing sebagai desakan agar pihak berkuasa benar-benar mendengar suara rakyat," katanya.
Pengamal undang-undang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, yang membacakan resolusi himpunan menegaskan bahawa suara rakyat harus diambil serius oleh pihak berkuasa dan siasatan yang telus, bebas serta menyeluruh perlu dilakukan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Beliau turut mendesak pihak berkuasa menyegerakan tangkapan dan pendakwaan terhadap pelaku yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, serta menyeru agar orang awam diberikan maklumat secara telus bagi mengelakkan manipulasi fakta.
Tegasnya, perlindungan dan sokongan harus diberikan kepada keluarga arwah adik Zara, dan kerajaan perlu menunjukkan komitmen sifar toleransi terhadap jenayah kanak-kanak, penderaan, keganasan serta pengabaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

