Galakan awal sukan bantu bina masa depan - Muhammad Nasir

KOTA BHARU – Dorongan dan sokongan kukuh ibu bapa serta guru kepada murid untuk aktif bersukan sejak awal mampu membuka laluan ke arah kerjaya profesional, malah berpotensi menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan yang menjamin masa depan.
Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ibu bapa seharusnya memberi galakan penuh kepada anak-anak untuk bergiat aktif dalam sukan kerana bidang itu terbukti mampu menjana pendapatan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Kalau dilihat sekarang, sukan boleh menjana pendapatan dan menyara kehidupan.
“Pemain badminton, skuasy, renang dan bola sepak terutama di peringkat antarabangsa bukan sahaja berjaya, tetapi ada yang menggunakan hasil pendapatan mereka daripada sukan untuk membangunkan sekolah, memberi pendidikan kepada anak-anak kampung serta membina masjid,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Perasmian Sukan Tahunan ke-36 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Guru Besar SK Seri Ketereh, Mohd Nawawi Kelasah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Dr Mohd Nazrul Hisham Yusoff.
Namun begitu, Muhammad Nasir mengingatkan agar aspek akademik tidak diketepikan kerana kerjaya sukan mempunyai had usia tertentu.
“Sukan seperti bola sepak, selepas umur 40 tahun mungkin tidak lagi mampu bermain.
“Di sinilah akademik menjadi penentu masa depan. Jika ada kelulusan dalam bidang perakaunan, undang-undang atau perubatan, boleh kembali berkhidmat sebagai doktor, jurutera atau profesional lain,” katanya.
Beliau turut berharap agar lebih 1,000 murid di sekolah berkenaan berjaya membangunkan diri, memberi kesejahteraan kepada ibu bapa, sekolah, agama dan negara.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir menekankan kepentingan nilai agama dalam kehidupan murid.
“Solat jangan tinggal dalam apa-apa sahaja keadaan, sama ada sedih atau gembira.
“Baca al-Quran, amalkan dan berinfaq walaupun sedikit,” katanya.
Tambah beliau, murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga perlu diberi peluang sama rata dalam menyertai sukan mengikut kemampuan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

