Bashar al-Assad ‘terpenjara’ di Rusia?

Bashar al-Assad telah memasuki lipatan sejarah dan lenyap daripada 'peta'.
Bashar al-Assad telah memasuki lipatan sejarah dan lenyap daripada 'peta'.
A
A
A

BEKAS Presiden Syria digulingkan, Bashar al-Assad yang suatu ketika dahulu dikenali dengan ucapan yang panjang lebar dan sering muncul menerusi siaran TV kini hidup seperti dalam penjara di Rusia.

Beberapa laporan mendakwa pemimpin diktator itu dilarang tampil di khalayak umum, bercakap kepada media atau bersiar-siar dengan santai di luar kediamannya.

Kali terakhir al-Assad mengeluarkan kenyataan awam adalah kira-kira lapan hari selepas beliau melarikan diri dari Damsyik pada 8 Disember 2024 setelah disingkirkan Gerakan Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) di bawah pimpinan Presiden interim, Ahmed al-Sharaa.

Menerusi kenyataan pada 16 Disember 2024 itu, al-Assad mendakwa ‘pemergiannya’ tidak dirancang dan beliau merancang untuk terus berjuang.

Tetapi, Moscow menegaskan ‘pengunduran serta-merta’, sekali gus mengakhiri legasi dinasti Assad yang sudah berkuasa selama lebih lima dekad.

Sepanjang setahun lalu, al-Assad kekal berdiam diri.

Rakaman memaparkan keadaan terkini pemimpin kuku besi itu pernah dikongsi oleh anak sulungnya, Hafez pada pertengahan Februari lalu.

Kehidupannya di Moscow tidak begitu selesa seperti ketika beliau memegang ‘takhta Qasioun’.

Tiada konvoi kenderaan rasmi, tiada patung menyerupai dirinya dan tiada orang ramai yang melaungkan namanya seperti di Syria.

Artikel Berkaitan:

Al-Assad dikatakan hidup dalam keadaan ‘pengasingan paksa’ dengan pemantauan ketat terhadap pergerakannya dan sekatan terhadap sebarang komunikasi awam.

Menurut Duta Rusia ke Iraq, Elbrus Kutrashev, Kremlin sememangnya mengenakan syarat ketat kepada beliau jika mahu mendapatkan suaka di Moscow pada April lalu.

Bak nukilan novelis Rusia, Fyodor Dostoevsky, ‘seorang lelaki layak menerima apa yang terjadi kepadanya, supaya dia dapat menyedari kesilapannya, sedikit demi sedikit.’

Al-Assad, yang suatu ketika dahulu merupakan pembuat keputusan tertinggi di Damsyik kini sudah tidak lagi relevan dalam pentas politik.

Ironinya, Bashar al-Assad telah memasuki lipatan sejarah dan lenyap daripada 'peta'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!