Bekas Presiden Colombia dijatuhi hukuman tahanan rumah 12 tahun

Alvaro Uribe Velez - Foto: Agensi
Alvaro Uribe Velez - Foto: Agensi
A
A
A

BOGOTA (Colombia) - Bekas Presiden berhaluan kanan Colombia, Alvaro Uribe Velez telah dijatuhi hukuman tahanan rumah selama 12 tahun dalam satu keputusan yang disampaikan oleh Hakim Sandra Heredia pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Uribe juga hilang kelayakan untuk memegang jawatan awam selama lapan tahun dan diarahkan membayar denda.

Uribe, 73, menerima hukuman maksimum selepas didapati bersalah atas tuduhan mengganggu saksi dan penipuan prosedur.

Ini menandakan satu detik bersejarah kerana ia merupakan kali pertama seorang bekas presiden Colombia disabit dan dijatuhi hukuman jenayah.

Sepanjang prosiding, bekas presiden berkenaan secara konsisten menegaskan beliau tidak bersalah. Pihak pembelaan Uribe telah mengumumkan akan merayu keputusan itu.

Jika Mahkamah Tinggi Bogota mengekalkan keputusan Heredia, kes itu boleh dibawa untuk rayuan ke peringkat Mahkamah Agung Keadilan.

Dalam keputusan yang sama, Mahkamah mengarahkan siasatan ke atas Uribe kerana didakwa mengganggu saksi untuk memburukkan nama lawan politiknya. Bekas presiden itu didakwa memanipulasi keterangan.

Pada 2020, Mahkamah memerintahkan tahanan rumah Uribe. Sebelum keputusan itu, bekas presiden berkenaan meletak jawatan daripada kerusi Senatnya, yang memindahkan kesnya ke sistem kehakiman biasa.

Beliau didakwa secara rasmi atas tuduhan rasuah, penipuan prosedur dan mengganggu saksi pada Mei 2024. Susulan itu, Pejabat Pendakwa Raya Colombia cuba menutup kes terhadap Uribe, tetapi petisyen itu ditolak.

Artikel Berkaitan:

Uribe ialah pemimpin berhaluan kanan paling popular di Colombia dan merupakan seorang tokoh penentu dalam pilihan raya presiden tahun depan.

Kes itu telah menarik perhatian tokoh politik Amerika Syarikat (AS) yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan sistem kehakiman Colombia disalah guna untuk menyasarkan bekas presiden berkenaan, malah mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!