Setahun selepas kejatuhan Bashar al-Assad

DAMSYIK - Penduduk Syria meraikan ulang tahun pertama kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad pada Isnin lalu ketika negara yang masih berpecah-belah itu berjuang untuk memerangi sektarianisme dan membina semula ekonomi setelah terjerumus dalam perang saudara selama 14 tahun.
Orang ramai membanjiri jalan-jalan di ibu kota dan bandar utama sambil mengibarkan bendera kebangsaan.
"Saya akan memastikan kewujudan bersama secara aman selepas berakhirnya era despotisme (pemerintahan kuku besi) dan zalim," kata Presiden interim, Ahmed al-Sharaa ketika berucap sempena sambutan hari bersejarah itu.
Al-Sharaa juga menegaskan semula komitmen pemerintah terhadap prinsip peralihan yang adil serta memastikan pelaku yang melanggar undang-undang dan melakukan jenayah terhadap rakyat Syria diheret ke muka pengadilan.
Sambutan besar-besaran kemudiannya diadakan di seluruh negara dengan persembahan bunga api dan laungan lagu revolusi menerusi sistem pembesar suara.
Pemerintahan dinasti al-Assad sepanjang 53 tahun berakhir pada 8 Disember 2024 selepas serangan kilat selama 11 hari oleh gerakan Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) diketuai al-Sharaa ke atas Syria yang turut mengejutkan komuniti antarabangsa.

Penggulingan al-Assad juga menamatkan perang saudara panjang yang meninggalkan parut berkekalan di negara itu selain memaksa kira-kira 6.8 juta atau satu pertiga populasi negara itu melarikan diri.
Di pinggir Damsyik, ramai penduduk mula kembali ke kediaman masing-masing dan berharap pembangunan semula dapat dilaksanakan segera.
Maher al-Homsi berkata, dia merancang untuk menetap semula di rumahnya selepas selesai dibaiki meskipun masih tiada akses kepada bekalan air.
"Setahun sudah berlalu. Saya berharap pemerintah dapat bersihkan rumah lama yang musnah dan bina menara kediaman baharu," katanya.
Doktor gigi, Bassam Dimashqi pula lebih prihatin terhadap ketidakstabilan ekonomi.
"Pemerintah perlu pastikan negara kita benar-benar selamat kerana ia akan buka banyak peluang termasuk menggalakkan pelabur mengusahakan pelbagai projek," menurutnya.

Perang saudara berlarutan di Damsyik telah mencetuskan krisis migrasi terbesar di dunia dan angka itu melonjak ketika kemuncak konflik pada 2021.
Kumpulan pelarian itu nekad mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran seperti Turkiye (3.74 juta orang), Lubnan (840,000 orang) dan Jordan (672,000 orang).
Sejak Disember 2024, lebih 780,000 pelarian sudah pulang ke tanah air dan menetap di Aleppo, Homs, daerah luar bandar Damsyik dan Idlib.
Selain itu, kira-kira 1.8 juta pelarian dalam negara juga kembali ke Aleppo, Idlib dan Hama yang sebelum ini pernah menjadi medan tempur utama. - Agensi/AFP
Ringkasan AI
- Penduduk Syria meraikan ulang tahun pertama kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad ketika negara itu berjuang memerangi sektarianisme dan membina semula ekonomi
- Orang ramai membanjiri jalan-jalan di ibu kota dan bandar utama sambil mengibarkan bendera kebangsaan
- Presiden interim, Ahmed al-Sharaa berucap sempena sambutan hari bersejarah itu tentang kewujudan bersama secara aman
- Pemerintahan dinasti al-Assad selama 53 tahun berakhir selepas serangan oleh gerakan Hay'at Tahrir al-Sham
- Sejak Disember 2024, lebih 780,000 pelarian sudah pulang ke tanah air dan menetap di Aleppo, Homs, dan daerah lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

