Sempadan Kemboja-Thailand terus bergolak

SURIN – Sempadan Kemboja dan Thailand terus tegang pada Khamis selepas pertempuran semakin sengit di lokasi menempatkan kuil berusia beberapa abad yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara itu.
Pihak yang bertelagah berterusan menuding jari dan menuduh antara satu sama lain mencetuskan semula konflik tersebut yang kini merebak ke lima wilayah di Bangkok dan Phnom Penh.
Kementerian Pertahanan di Phnom Penh mendakwa askar Thailand sengaja melancarkan serangan awal pagi ke kawasan Kuil Khnar.
Tuduhan itu dilemparkan setelah Bangkok mengumumkan perintah berkurung bermula jam 7 malam hingga 5 pagi (waktu tempatan) di beberapa bahagian di Sa Kaeo bermula Rabu.
Arahan tegas itu dikeluarkan selepas Thailand mendakwa pasukan musuh menembak roket yang jatuh di kawasan Hospital Phanom Dong Rak di wilayah Surin, utara Sa Kaeo yang pernah menjadi medan tempur pada Julai lalu.
Sementara itu, angka korban dilaporkan meningkat kepada hampir 20 orang selepas jurucakap Kementerian Pertahanan di Bangkok, Surasat Kongsiri mengesahkan sembilan anggota tentera mereka terkorban manakala lebih 120 cedera.
Sejak awal minggu lalu, kira-kira 500,000 penduduk di beberapa wilayah sempadan kedua-dua negara terpaksa berpindah berikutan kawasan tersebut kini menjadi medan tempur.
Susulan ketegangan yang kian meningkat, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi cuba campur tangan dan mengesahkan akan menghubungi pemimpin Kemboja serta Thailand bagi meredakan konflik tersebut selepas perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Oktober lalu runtuh. – AFP
Ringkasan AI
- Sempadan Kemboja dan Thailand terus tegang selepas pertempuran sengit di lokasi kuil berabad yang dipertikaikan
- Pertempuran merebak ke lima wilayah di Bangkok dan Phnom Penh, kedua pihak menuding jari
- Kementerian Pertahanan Phnom Penh dakwa askar Thailand lancarkan serangan ke Kuil Khnar
- Bangkok umum perintah berkurung di Sa Kaeo, Thailand dakwa roket musuh jatuh di Hospital Phanom Dong Rak
- AS cuba campur tangan redakan konflik, gencatan senjata sebelum ini runtuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

