Mahasiswa benteng utama tolak normalisasi rasuah – Azam

Pelajar membacakan ikrar ketika program SPRM–UiTM INSPIRA 2025: Hari Integriti & Kepimpinan yang turut menampilkan sesi Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada Rabu.
Pelajar membacakan ikrar ketika program SPRM–UiTM INSPIRA 2025: Hari Integriti & Kepimpinan yang turut menampilkan sesi Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada Rabu.
A
A
A

PUNCAK ALAM – Golongan mahasiswa adalah benteng utama dalam menolak budaya salah laku dan rasuah dalam usaha membina masa depan negara yang berintegriti tinggi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, peranan mahasiswa amat penting sebagai ejen perubahan yang berani menilai isu semasa secara kritis serta tidak mudah terpengaruh dengan persepsi yang boleh memesongkan nilai integriti.

"Sikap berani menegur, menolak salah guna kuasa dan mempertahankan nilai integriti harus dibudayakan sejak di bangku universiti lagi.

"Mahasiswa bukan sekadar penuntut ilmu, sebaliknya pemikir strategik dan ejen perubahan yang menjadi tunjang kepada pembentukan masa depan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program SPRM–UiTM INSPIRA 2025: Hari Integriti & Kepimpinan yang turut menampilkan sesi Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di sini pada Rabu.

Azam ketika hadir program SPRM–UiTM INSPIRA 2025: Hari Integriti & Kepimpinan yang turut menampilkan sesi Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada Rabu.
Azam ketika hadir program SPRM–UiTM INSPIRA 2025: Hari Integriti & Kepimpinan yang turut menampilkan sesi Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada Rabu.

Azam berkata, mahasiswa perlu bersikap kreatif, celik teknologi serta berani memacu perubahan supaya amalan salah tidak diterima sebagai kebiasaan dalam masyarakat.

"Budaya integriti perlu diperkukuh di peringkat awal agar generasi masa depan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh dan bebas rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pihaknya berbangga atas pelantikan Azam sebagai Profesor Adjung UiTM yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar dalam memperkukuh agenda integriti dan antirasuah di institusi pengajian tinggi itu.

"UiTM turut bersama masyarakat menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa, selari dengan sokongan kepada usaha kerajaan mencapai sasaran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada kedudukan 25 teratas dunia menjelang 2033.

"UiTM akan terus komited melahirkan generasi profesional beretika dan bebas rasuah serta memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju pembentukan graduan berintegriti," katanya.

Dalam majlis sama, turut diadakan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta sesi menandatangani IBR oleh Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli dan Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof Dr Norli Ali, yang disaksikan oleh Azam.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff; Prof Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor; Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) UiTM, Prof Dr Zuraidah Sanusi serta barisan pengurusan eksekutif dan pengurusan kanan universiti serta pegawai-pegawai SPRM.

Ringkasan AI

  • Golongan mahasiswa dianggap sebagai benteng utama dalam menolak budaya rasuah
  • Peranan mahasiswa penting sebagai ejen perubahan yang kritis dan mempertahankan nilai integriti
  • Budaya integriti harus ditanam sejak di bangku universiti
  • Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung UiTM untuk memperkukuh agenda integriti
  • UiTM berkomitmen melahirkan generasi profesional yang beretika dan bebas rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!