SPRM kongsi maklumat, laksana operasi bersama AKPS basmi rasuah

Azam
Azam
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan perkongsian maklumat serta melaksanakan operasi bersama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh usaha membanteras salah laku serta rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada sokongan penuh SPRM terhadap kepimpinan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam melaksanakan pembersihan dalaman dan pemerkasaan integriti agensi tersebut.

Menurutnya, AKPS yang merangkumi beberapa agensi utama termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain memerlukan penyelarasan rapi dari aspek penguatkuasaan.

"Kami menghormati hala tuju yang diambil Datuk Seri Mohd Shuhaily dalam memastikan integriti AKPS terus diperkukuh.

"SPRM juga telah mengadakan beberapa perbincangan bagaimana kami boleh membantu beliau bagi melaksanakan pembersihan dalaman memandangkan beliau mengambil alih ramai pegawai dengan latar belakang serta sikap yang berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program MACC–UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Rabu.

Terdahulu, seorang pegawai MCBA ditahan di Johor Bahru pada Ahad lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penglibatan dalam kegiatan ‘pasport terbang’.

Penahanan itu dipercayai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa untuk membanteras rasuah serta menghalang cubaan kemasukan warga asing secara tidak sah.

‘Pasport terbang’ merujuk kepada aktiviti pemilikan atau pemindahan tanpa kebenaran beberapa pasport asing yang digunakan untuk memintas prosedur imigresen di pintu masuk negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam serbuan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pegawai terbabit dipercayai memiliki lapan pasport asing iaitu enam pasport China, satu pasport Indonesia dan satu pasport Vietnam.

 

 

Ringkasan AI

  • SPRM menjalankan perkongsian maklumat dan operasi bersama AKPS untuk memperkukuh usaha membanteras rasuah
  • Kerjasama itu sebagai sokongan SPRM terhadap pembersihan dalaman dan pemerkasaan integriti AKPS
  • Peningkatan integriti AKPS diperlukan bagi beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia
  • SPRM mengadakan perbincangan bagaimana membantu AKPS dalam pembersihan dalaman
  • Seorang pegawai ditahan berkaitan aktiviti 'pasport terbang' sebagai usaha membanteras rasuah dan kemasukan warga asing secara tidak sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!