'Rafizi pun tak suka saya' - Azam Baki

Azam Baki - Foto: Bernama
Azam Baki - Foto: Bernama
A
A
A

PUNCAK ALAM – “Orang sudah tidak suka saya, Rafizi pun tidak suka saya, dia kata jangan sambung Azam Baki,” demikian seloroh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ketika memberi bayangan bahawa tempoh perkhidmatannya bakal tamat tahun hadapan.

Azam berkata, kontraknya yang telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.

“Insya-ALLAH, tahun depan tempoh perkhidmatan saya akan tamat. Ia telah disambung tiga kali sebelum ini." katanya ketika berucap dalam program SPRM - UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam pada Rabu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa isu siapa yang akan menggantikannya tidak penting, asalkan tugas memerangi rasuah diteruskan dengan tegas.

“Apa yang penting ialah pengganti saya meneruskan agenda meningkatkan integriti, mempromosikan tadbir urus yang baik dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen memerangi rasuah susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Rafizi menyatakan, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Menurutnya, dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, isu berkaitan kontrak Azam turut dibangkitkan, termasuk persoalan sama ada ia akan disambung buat kali keempat.

Beliau mendakwa, kontrak Azam sebelum ini telah disambung bukan sekali, bukan dua kali tetapi sebanyak empat kali.

Artikel Berkaitan:

Rafizi menegaskan, jika kontrak itu disambung lagi, ia hanya akan mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.

Tambah beliau, dengan pelbagai kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Azam Baki, sudah tiba masanya kontrak tersebut tidak disambung lagi.

Ringkasan AI

  • Tan Sri Azam Baki menyatakan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM telah dilanjutkan tiga kali sebelum ini
  • Beliau mengakui terdapat ketidakpuasan termasuk dari Rafizi Ramli terhadap perlanjutan kontraknya
  • Azam Baki akan tamat tempoh perkhidmatannya pada tahun hadapan
  • Beliau menekankan pentingnya pengganti meneruskan agenda antirasuah tanpa gentar atau pilih kasih
  • Datuk Seri Rafizi Ramli menyuarakan bahawa kontrak Azam Baki tidak patut disambung lagi untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap isu rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!