CSAM bergerak guna saluran peribadi, kumpulan tertutup

SHAH ALAM – Penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) kini semakin membimbangkan apabila ia bergerak secara tersembunyi melalui saluran peribadi, kumpulan tertutup dan akaun tanpa nama di pelbagai platform digital.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, pengedar bahan CSAM semakin licik dengan menggunakan akaun palsu dan aplikasi tertentu seperti Telegram untuk membentuk kumpulan peribadi serta saluran tertutup bagi menyebarkan bahan lucah.
Menurutnya, taktik tersebut menyebabkan kandungan berbahaya sukar dikesan oleh pihak berkuasa dan memerlukan kawalan lebih ketat terhadap pengoperasian platform digital.

“Sebab itu kita perlu wajibkan platform untuk buat penapisan. Platform kena ambil tanggungjawab untuk saring apa-apa kandungan yang dihantar melalui platform tersebut.
"Sistem saringan digital sedia ada kebanyakannya bergantung kepada pangkalan data kandungan yang telah dikenali, sekali gus membuka ruang kepada bahan yang telah diubah suai untuk terlepas daripada pengesanan.
"Pengedar CSAM ini licik, dia guna kecerdasan bauatan (AI), ubah suai sedikit, tampal muka orang lain dekat badan orang lain, membuatkan kandungan ini sering terlepas dari saringan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, beliau menegaskan platform digital perlu segera menaik taraf sistem keselamatan dan saringan mereka agar seiring dengan kepantasan perkembangan teknologi semasa.
Katanya, tidak realistik untuk mengharapkan kerajaan sahaja memantau ratusan ribu kandungan yang dimuat naik setiap hari kerana jumlah tersebut jauh melebihi keupayaan kawalan manual.
Mengulas tentang kepentingan sekatan awal terhadap kandungan berbahaya, Young Syefura menegaskan tanggungjawab utama terletak di bahu penyedia platform, manakala kerajaan boleh bertindak melalui pengetatan syarat pelesenan.
"Bagaimanapun peranan pengguna, khususnya ibu bapa, adalah jauh lebih penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di alam maya.
“Kanak-kanak sekarang dah bijak. Kita sekat laman web, mereka dah pandai guna virtual private network (VPN). Jadi ibu bapa kena pantau, sentiasa buat pemeriksaan mengejut dan lihat dengan siapa anak berhubung di dunia maya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha mengawal penggunaan internet tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata tanpa penglibatan aktif ibu bapa.
Kanak-kanak usia bawah 16 tahun terdedah risiko eksploitasi

Dalam pada itu Young Syefura berkata, kanak-kanak di bawah usia 16 tahun lebih terdedah kepada risiko eksploitasi seksual kerana belum matang dari sudut psikologi dan sosial.
Menurutnya, golongan ini mudah dimanipulasi dan ‘digroom’ oleh individu tidak bertanggungjawab melalui media sosial tanpa disedari oleh ibu bapa.
“Kita selalu pesan jangan bercakap dengan orang tak dikenali secara berdepan, tetapi kita tidak tahu dengan siapa anak-anak kita berhubung secara online. Ini lebih bahaya dan perlukan pantauan.
"Sebab itu menghadkan penggunaan media sosial kepada golongan bawah 16 tahun sebagai satu usaha pencegahan selaras dengan standard global, namun mekanismenya perlu dilaksanakan dengan jelas dan tegas oleh platform.
"Saya pernah sebut dalam Parlimen juga agar ibu bapa tidak menggunakan anak-anak sebagai kandungan untuk melariskan produk atau meraih populariti di media sosial kerana pendedahan awal boleh membawa kesan buruk kepada perkembangan mereka," katanya.
Mengulas tentang tanggungjawab platform dalam membendung CSAM, Young Syefura berkata, kepantasan penyebaran kandungan digital menuntut tindakan saringan awal yang lebih proaktif, bukan sekadar menunggu aduan dibuat.
"Bila kita dapat kesan, kandungan dah jauh tersebar dan dihasilkan semula. Mana-mana pelaku yang kita dapat tangkap, kita perlu 'banned' mereka,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual dibuka secara dalam talian untuk akses orang awam bagi membolehkan semakan dibuat secara lebih telus, memandangkan pesalah jenayah seksual kanak-kanak boleh datang daripada mana-mana latar belakang termasuk dalam kalangan individu terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
