Kecuaian yang meragut nyawa

KEJADIAN lemas yang melibatkan kanak-kanak amat membimbangkan. Lebih merisaukan apabila insiden berlaku di lokasi yang sepatutnya selamat seperti kolam renang yang kebiasaannya melibatkan pengawasan orang dewasa.
Sinar Harian pada 7 Disember lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas lemas di sebuah kolam inap desa di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 10.40 malam, Sabtu.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa, Muhammad Noor Rizqy Danial Musaffaran lemas dalam kolam sedalam 1.5 meter.
Mangsa menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebelum disahkan meninggal dunia.
Kes ini mengingatkan kita bahawa kolam inap desa dan penginapan percutian sering kurang kawalan keselamatan walaupun menempatkan keluarga dengan kanak-kanak.
Satu lagi kejadian di Negeri Sembilan yang dilaporkan pada hari sebelumnya melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang semasa menghadiri majlis tadika dan kemudian ditemui lemas di kolam rumah kelab.
Bapa kanak-kanak tersebut, Noor Muhamad Asun, 46, berkata, anaknya ditemui tidak sedarkan diri dalam kolam ketika sedang mandi bersama rakan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar.
Kejadian tragis seperti yang menimpa Nur Dhiya Azzalea menimbulkan persoalan tentang protokol keselamatan pada majlis tadika, jumlah penjaga yang bertanggungjawab dan langkah pencegahan asas seperti pagar, penghalang serta alat keselamatan boya yang mudah capai.
Selain kolam, longkang dan arus deras juga menjadi punca kejadian lemas. Tragedi meragut nyawa dua adik-beradik yang dilaporkan hanyut selepas cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang amat meruntun hati.
Bapa mereka, Khairul Ikram Baharin, 47, berkata, kedua-dua anaknya, Allahyarham Khalish Shahdan, 14, dan adiknya Qayyum Shaqeel, 12, sering melakukan aktiviti bersama malah jarang berenggang.
Kejadian yang dilaporkan pada 4 Disember lalu itu menonjolkan risiko yang datang daripada infrastruktur perbandaran - longkang yang dalam, arus hujan kuat dan kawasan tanpa pengadang atau amaran jelas.
Pada pandangan penulis, kerajaan negeri perlu menilai semula reka bentuk longkang di kawasan perumahan dan menyediakan papan amaran serta pengadang di lokasi berisiko tinggi.
Punca berulangnya kejadian lemas dalam kalangan kanak-kanak adalah gabungan beberapa faktor antaranya pengawasan dewasa kurang semasa aktiviti berkumpulan atau ketika keluarga berkunjung ke lokasi rekreasi.
Faktor lain termasuk kekurangan langkah keselamatan fizikal seperti pagar kolam atau penutup longkang, sikap terlalu yakin ibu bapa atau penjaga terhadap kemampuan berenang anak dan kekurangan pendidikan keselamatan air yang meluas di komuniti.
Pada pendapat penulis, beberapa cadangan praktikal boleh dipertimbangkan termasuk penguatkuasaan standard keselamatan kolam renang di rumah inap dan inap desa seperti penilaian kedalaman, pagar dan alat bantuan terapung.
Protokol pengawasan semasa acara tadika atau hari keluarga perlu diperketatkan. Kempen pendidikan berenang asas serta kursus asas bantuan pernafasan (CPR) untuk penjaga dan guru boleh dilaksanakan.
Penulis juga menyarankan agar audit keselamatan awam oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti hotspot lemas bagi mengurangkan sebarang kejadian tragis.
Kejadian lemas kanak-kanak adalah isu multifaktorial yang memerlukan tindakan bersepadu daripada komuniti, penjaga, pengusaha premis rekreasi dan pihak berkuasa.
Tanpa perubahan sistemik pada keselamatan fizikal dan pengawasan, pastinya kita akan terus membaca laporan serupa.
*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
