Durian percuma untuk ibu hamil

Orang ramai memilih buah durian yang dijual di Madad.
Orang ramai memilih buah durian yang dijual di Madad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Mana-mana ibu hamil yang hadir bagi mendapatkan durian di pekarangan Murtadha Dakwah Centre (Madad) di sini layak menerima sebiji raja buah itu secara percuma.

Fariza Harun, 25, dari Sungai Lalang, yang sedang sarat mengandung mengakui terkejut apabila diberikan sebiji durian semasa hadir bersama suami dan anak-anak kerana mengidam makan buah tersebut.

Fariza teruja menerima buah durian percuma yang dikhaskan untuk ibu hamil.
Fariza teruja menerima buah durian percuma yang dikhaskan untuk ibu hamil.

"Saya anggap rezeki...baru tahu dapat durian percuma untuk ibu mengandung bila sampai ke sini, saya belum beli...seronok, tak sangka dapat," katanya.

Sementara itu, peniaga durian, Zaidi Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi berkata, pemberian sebiji buah durian dianggap hadiah dan perkongsian rezeki kepada ibu hamil yang mungkin mengidam tetapi belum berkesempatan untuk merasainya.

Menurutnya, setiap ibu hamil akan diberi sebiji buah durian jenis Duri Hitam dan jika tiada bekalan akan ditukar kepada jenis lain yang setara kualiti.

Jelas Zaidi, buah jenis durian kampung yang dijual kepada pengunjung turut ditawarkan dengan harga lebih rendah berbanding pasaran sehingga RM3 sekilogram bagi membolehkan semua golongan menikmati keenakan raja buah tersebut.

"Sesetengah orang ada duit tapi tak boleh beli durian memikirkan banyak lagi keperluan yang perlu diutamakan. Tujuan jual murah sebab niat nak bagi semua orang boleh rasa.

Artikel Berkaitan:

"Jika di luar, durian kampung dijual dengan harga RM5 sekilogram, saya jual RM3 sekilogram dan waktu promosi saya jual hingga RM2.50 sekilogram," katanya.

Pengunjung juga dibenar menikmati keenakan durian di lokasi disediakan.
Pengunjung juga dibenar menikmati keenakan durian di lokasi disediakan.

Sepanjang menjalankan perniagaan durian dalam tempoh sembilan tahun ini, Zaidi pernah menerima mesej individu tidak dikenali meminta sebiji buah semata-mata mahu memenuhi keinginan anak-anak yang teringin merasainya.

"Dia beritahu tak mampu beli, anak teringin durian sebab jiran sebelah beli.

"Saya fikir rezeki ALLAH kita patut kongsi sama, saya panggil dia dan tunaikan hasrat ambil empat biji durian untuk dibawa balik makan di rumah, dia beritahu anak-anak gembira.

"Saya pernah merasai hidup susah, adik-beradik pula ramai.

"Bila saya dah berniaga, masih ingat bantuan orang sekeliling serta tidak lupa mereka yang kurang berkemampuan," katanya.

Zaidi yang berniaga durian di Taman Sejati di sini menjejaskan, jualan yang dibuka di Madad sepanjang musim kali ini bermula 29 November setiap hari dan dijangka tamat Januari nanti.

"Sekurang-kurangnya lebih enam tan terjual sehari bermula lepas Asar sehingga malam.

"Buah jenis Musang King, Duri Hitam dan D24 turut dijual antara harga RM18 hingga RM25 sekilogram," katanya.

Zaidi (kiri) dan Mohammad Yaakub Yusra
Zaidi (kiri) dan Mohammad Yaakub Yusra

Dalam perkembangan sama, Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan durian dengan harga lebih rendah dari pasaran boleh berkunjung ke lokasi itu setiap hari sebelum musim buah itu tamat.

"Madad bekerjasama dengan Cikgu Zaidi dengan sediakan ruang untuk berniaga," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Ibu hamil layak menerima durian percuma di Murtadha Dakwah Centre (Madad) di Sungai Petani
  • Fariza Harun, yang sedang sarat mengandung, terkejut dan seronok mendapat durian percuma
  • Peniaga durian, Cikgu Zaidi, memberi durian jenis Duri Hitam percuma kepada ibu hamil dan menjual jenis lain lebih murah
  • Zaidi menjual durian kampung dengan harga RM3 sekilogram, lebih rendah dari harga pasaran untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan
  • Penjualan durian di Madad bermula 29 November dan berlangsung setiap hari sehingga Januari, dengan jualan lebih enam tan sehari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!