27,734 kompaun ANPR dibatalkan, RM203,170 dibayar balik

GEORGE TOWN – Sebanyak 27,734 kompaun sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan automatik (ANPR) di Pulau Pinang dibatalkan manakala RM203,170 dibayar balik kepada pengguna susulan kontroversi pelaksanaan sistem berkenaan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, jumlah kompaun yang dibatalkan itu melibatkan 27,485 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 249 kompaun oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurutnya, sebanyak 6,470 kompaun yang telah diselesaikan bayaran turut melibatkan pembayaran balik berjumlah RM203,170.
“Bagi MBPP, sebanyak 6,441 kompaun telah diselesaikan bayaran dengan nilai bayaran balik RM202,435 manakala MBSP melibatkan 29 kompaun dengan nilai RM735.
“Jumlah keseluruhan kompaun yang telah diselesaikan bayaran ialah 6,470 keping dengan nilai bayaran balik RM203,170,” katanya.
Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) mengenai jumlah kompaun ANPR yang dibatalkan serta jumlah yang dibayar balik kepada pengguna.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, pelaksanaan ANPR di bawah Penang Smart Parking (PSP) adalah sebahagian daripada skop kontrak sedia ada antara MBPP dan MBSP dengan Syarikat HeiTech Padu (HTP).
Menurutnya, tiada kos pembangunan, perolehan, operasi dan penyelenggaraan ditanggung pihak majlis kerana keseluruhan kos pelaksanaan sistem berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh HTP.
Beliau berkata, pengalaman pelaksanaan ANPR itu menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam menambah baik penggunaan teknologi penguatkuasaan pada masa hadapan.
“Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah memastikan ketepatan sistem menerusi pengujian menyeluruh bagi mengelakkan kesilapan pengesanan dan tindakan penguatkuasaan yang tidak wajar.
“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) perlu diperincikan dengan mengambil kira keadaan sebenar di lapangan, tempoh pembayaran parkir serta proses pengesahan sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya.
Mooi Lye berkata, kerajaan negeri juga perlu melaksanakan ujian rintis dan penilaian risiko bagi menilai ketepatan sistem serta impaknya terhadap pengguna sebelum pelaksanaan secara menyeluruh.
"Komunikasi dan hebahan awam berkaitan fungsi sistem, kaedah pembayaran serta prosedur penguatkuasaan juga perlu disampaikan dengan jelas bagi meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada implikasi kewangan susulan penggantungan sistem ANPR kerana semua kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor berdasarkan terma kontrak sedia ada antara pihak majlis dan HTP.
Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan MBPP dan MBSP menghentikan pelaksanaan ANPR dalam mengeluarkan kompaun, berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan semakan semula dibuat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil maklum balas dan pandangan rakyat berhubung pelaksanaan sistem berkenaan oleh MBPP dan MBSP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

